Israel cuba sekat kesatuan Palestin-Hamas

573

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/03/palestine.jpgPerdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, cuba menghalang prospek satu perjanjian antara pihak berkuasa Palestin dengan Hamas bagi mewujudkan satu teman damai yang boleh dicapai.

Dalam temu ramah televisyen CNN yang disiarkan kelmarin, Encik Netanyahu berkata beliau sanggup berunding dengan Hamas jika kumpulan itu meninggalkan perlembagaannya dan menarik balik ancamannya mahu menghapuskan negara Yahudi itu.

Namun, beliau menganggap hal itu agak mustahil.

‘Boleh anda bayangkan perjanjian damai dengan Al-Qaeda? Tentu tidak,’ katanya ketika ditanya tentang kemungkinan satu pentadbiran yang boleh dilaksanakan melibatkan Hamas, kumpulan Islam yang kini menguasai Gaza.

‘Hamas ada perlembagaan. Jika ia meninggalkan perlembagaan yang menyeru Israel dihapuskan dan Islam radikal dikembangkan di seluruh rantau itu… ya, saya boleh menimbangnya,’ kata beliau.

‘Jika mereka berhenti melancarkan roket, atau mengimport roket baru untuk dilancarkan ke atas bandar-bandar kami… jika mereka hentikan pengganasan dan seruan supaya kami dihapuskan… ya, saya sanggup berbincang dengan mereka.

‘Namun hakikatnya, Hamas tetap Hamas. Hamas masih mahu menghapuskan kami,’ katanya.

Presiden Palestin, Encik Mahmud Abbas, Rabu lalu berkata beliau ‘sedia pergi ke Gaza esok (Khamis)’ untuk menghentikan perbezaan antara gerakan Fatahnya dengan Hamas, selepas Perdana Menteri Hamas di Gaza, Encik Ismail Haniya, menggesa diadakan perbincangan ‘segera’.

Presiden Palestin itu berkata beliau sedia menangguhkan pembentukan kabinet baru bagi memberi Hamas peluang menyertai satu pemerintah kesatuan. — AFP.