Namun, menurut sumber, Encik Netanyahu tidak memberikan sebarang tanda bahawa beliau akan mengalah mengenai kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan.
Kedua-dua pemimpin itu bersetuju menyelaraskan usaha dalam isu menangani program nuklear Iran setelah Encik Obama merayu agar lebih banyak masa diberikan bagi sekatan antarabangsa menunjukkan sebarang kesan.
Tetapi jelas keduaduanya masih mempunyai pendapat yang berbeza mengenai bagaimana menghentikan Iran daripada membangunkan senjata nuklear.
Walaupun kedua-dua pemimpin itu cuba mempamerkan perpaduan dalam mesyuarat Rumah Putih mereka, kenyataan tegas Encik Netanyahu bahawa negara Yahudi itu harus menentukan nasibnya sendiri merupakan peringatan jelas yang Israel mungkin bertindak sendiri.
Encik Netanyahu ditukil sebagai berkata:
‘Tekanan (terhadap Iran) semakin bertambah dan masa semakin suntuk.’
Beliau turut memberikan mesej serupa ketika berucap kepada kumpulan melobi pro-Israel yang berpengaruh, Jawatankuasa Ehwal Awam Amerika Israel (Aipac).
‘Tiada sesiapa di antara kita yang mampu menunggu lebih lama. Sebagai perdana menteri Israel, saya tidak akan benarkan rakyat saya hidup dalam bayangan akan dihapuskan,’ katanya.
Encik Obama cuba meyakinkan Encik Netanyahu bahawa Amerika masih tidak menolak kemungkinan menggunakan kuasa tentera terhadap Iran sebagai pilihan terakhirnya dan ia tetap menjaga kepentingan Israel.
Israel, satu-satunya negara Timur Tengah yang dipercayai mempunyai senjata nuklear, melihat kewujudan program atom Teheran sebagai satu ancaman, walaupun pihak berkuasa Iran telah menyatakan program nuklearnya digunakan bagi menjana tenaga dan tujuan perubatan.
Pertemuan Encik Obama dengan Encik Netanyahu dianggap penting dalam mengekalkan kepercayaan sekutu paling rapat Amerika di Timur Tengah dan menangkis kritikan pesaingnya daripada Parti Republikan yang meragukan sokongan Encik Obama pada negara Yahudi itu.
Sementara itu, Iran semalam menyatakan kesediaannya membenarkan merinyu PBB memeriksa kompleks tentera rahsia di Parchin, yang disyaki badan pemerhati nuklear itu sebagai tempat Teheran menjalankan aktiviti atom secara rahsia.
Menurut kenyataan utusan tetap Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), keizinan itu diberikan sebagai tanda muhibah. — Reuters, AP.



























