Oleh KAM
MARANG – Islam pernah memerintah masyarakat majmuk di Tanah Melayu (Malaysia) ini termasuk di Terengganu ini. Apa yang kita dapat selepas penjajah datang rakyat diperhambakan.
Selepas negara mencapai kemerdekaan sama seperti ‘penjajah’ juga sekadar boleh makan, sekadar boleh hidup dan sekadar boleh buat ibadah. Kita (umat Islam) tidak boleh jadi bangsa yang memimpin sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika merasmikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) di Dewan Tok Guru Rusila, Marang pada 29 Mac lalu.
Namun, katanya, Allah SWT telah menjanjikan bahawa cahaya Islam tidak boleh dipadamkan meski pun Nabi SAW sudah tidak ada tetapi yang membawa risalah perjuangan Islam adalah parti-parti Islam di seluruh dunia.
“Di Tanah Melayu ini, ulamak-ulamak kita menubuhkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). PAS memainkan peranan untuk mengajak semula orang Islam khususnya dan mengajak orang bukan Islam untuk mendirikan kerajaan yang adil dan membawa rahmat ke seluruh alam ini.
“Alhamdulillah, kita (PAS) mendapat sedikit perkembangan di zaman mutakhir ini. Apabila kita mencapai kemajuan dalam pilihan raya (PRU13) baru-baru ini. Kita (PAS) hanya mendapat 21 kerusi Parlimen tetapi kita mendapat kerusi yang banyak di Dwan Undangan Negeri (Dun) di seluruh negara.
“Semua negeri ada kerusi (Dun) PAS melainkan di Sabah, Sarawak dan Melaka. Semua negeri lain ada kerusi PAS dan ini yang kita capai. Walau pun kita tidak banyak kerusi di Parlimen tetapi kita berjaya memerintah Kelantan dan kita majoriti di Dun Selangor,” jelasnya dihadapan lebih 1000 hadirin.


Namun, kata Ustaz Abdul Hadi, sedikit rasa ketidakpuasan hatinya apabila melihat masih ramai di kalangan anggota masyarakat yang masih belum menyokong PAS.
“Saya berpuas hati dengan program yang diatur oleh muslimat untuk mengembangkan sayap dalam masyarakat, tetapi belum puas hati lagi kerana masih ramai anggota-anggota masyarakat yang tidak menyokong kita (PAS),” ujarnya.
Menurutnya, dalam postmortem pilihan raya lalu PAS mendapat undi sokongan yang meningkat di kalangan pengundi muda lelaki dan bukan Islam.
Sebaliknya, kata beliau, sokongan para pengundi muda di kalangan kaum wanita pula tidak meningkat serta perlu diberi perhatian.
“Kita (PAS) agak ketinggalan dalam postmortem dalam PRU13 baru-baru ini. Kita mendapat undi yang meningkat di kalangan undi orang bukan Islam. Undi yang meningkat di kalangan undi orang muda lelaki tetapi undi orang muda wanita kita tidak meningkat.
“Di sini menunjukkan bahawa remaja perempuan, kita (PAS) menghadapi sedikit masalah. Di sini perlunya peranan muslimat untuk menggerakkan Ameerah, menggiatkan Nisa’ kerana mereka adalah pengundi yang besar dalam pilihan raya akan datang. Hal-hal ini sangat penting untuk kita (PAS) beri perhatian,” tegasnya.
Selain itu, Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan kedatangan Islam juga telah menaikan martabat golongan wanita di tempat yang setinggi-tingginya.
Katanya, Islam yang ditegakkan itu telah berjaya menguasai dunia serta membina tamadun yang melibatkan lelaki dan perempuan.
“Di zaman jahiliyyah orang Arab membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup, di Parsi dan Rom orang wanita dianggap barang dagangan sahaja. Di China, dalam sejarahnya kaum wanita boleh dipertaruh dalam perjudian dan di India, kaum wanita (isteri) akan dibakar bersama suaminya yang meninggal dunia.
“Kedatangan Islam telah memartabatkan wanita di tempat yang setinggi-tingginya. Islam yang ditegakkan telah berjaya menguasai dunia, membina tamadun yang melibatkan lelaki dan perempuan. Tamadun Islam bukan sahaja melibatkan orang lelaki tetapi juga orang perempuan.
Malangnya, kata beliau, ramai di kalangan wanita hari ini masih tidak sedar diri kemuliaan dan martabatnya yang diberikan oleh Islam.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Malaysia, Dato’ Abu Bakar Chik, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusof, AJK Muslimat PAS Malaysia, Wan Aisyah Wan Ariffin dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.
Pada majlis sambutan tersebut turut diadakan “Anugerah Jasamu Di Kenang”, Pentas Anak Muda bersama Salebriti Abby Abadi dan Sembang Santai bersama Imam Muda, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Husin serta Wan Aisyah Wan Ariffin.





























