TRIPOLI: Menteri Luar Perancis, Encik Alain Juppe (gambar), awal kelmarin memberikan hujah bahawa Islam dan demokrasi bukan tidak serasi, sambil menegaskan bahawa gerakan pembaharuan Arab Spring atau ‘Musim Bunga Arab’, yang telah menggulingkan tiga diktator dunia Arab, harus membuka jalan kepada pluralisme politik.
‘Saya enggan menerima idea bahawa Islam dan demokrasi adalah tidak serasi dan bahawa penduduk Arab hanya diberi pilihan antara pemerintah diktator dengan fundamentalisme,’ kata Encik Juppe di hadapan ratusan pelajar di Universiti Tripoli.
‘Adalah menjadi hasrat kami untuk menjalin hubungan dan dialog dengan semua peserta Arab Spring, tanpa pengecualian, atas syarat bahawa mereka menghormati peraturan ‘permainan’ demokrasi, yang paling utama antaranya ialah penolakan keganasan, hak asasi lelaki dan wanita, dan rasa hormat terhadap kaum minoriti.
‘Kita tidak boleh menolak mereka yang telah lama dipaksa berdiam diri daripada meluahkan hak mereka dalam membuat pilihan,’ kata beliau.
Di Tunisia, negara Arab pertama yang menggulingkan pemerintahan diktatornya, parti Islam Ennahda muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen yang diadakan pada Oktober lalu.
Pihak pejuang Islam juga mendahului yang lain dalam pilihan raya di Mesir, yang sedang berjalan ketika ini, dan semakin meraih pengaruh yang lebih besar di Libya, menurut beliau lagi.
Rabu lalu, pada satu sidang akhbar dengan Perdana Menteri Libya, Encik Abdel Rahim al-Kib, Encik Juppe mengisytiharkan bahawa terserah kepada rakyat Libya ‘membina sebuah demokrasi yang mereka lihat wajar’ berikutan penggulingan bekas pemimpin dan diktator Muammar Gaddafi. — AFP.




























