TEHERAN: Iran akan mengadakan latihan ketenteraan baru di Selat Hormuz, yang strategik, dalam masa beberapa minggu, komander tentera laut Pengawal Revolusi Iran, ditukil sebagai berkata, semalam.
Laporan agensi berita Fars, menukil Brigedier Jeneral (BG) Ali Fadavi, sebagai mengatakan bahawa latihan itu dijangka diadakan dari 21 Januari hingga 19 Februari depan.
Latihan itu, tambah BG Fadavi, akan mengukuhkan kenyataan Iran bahawa ia mempunyai kuasa penuh terhadap Selat Hormuz dan mengawal semua pergerakan di kawasan itu.
Sebelum ini, Pengawal Revolusi Iran hanya mengatakan bahawa latihan ketenteraan di Selat Hormuz akan diadakan tidak lama lagi.
Pengumuman itu dijangkan menambah ketegangan dengan kuasa Barat tentang selat itu.
Menurut Pentadbir Maklumat Tenaga Amerika Syarikat, laluan itu merupakan laluan terpenting di dunia bagi kapal-kapal tangki minyak.
Sekitar 20 peratus minyak di dunia disalurkan melalui selat yang sempit di pintu masuk Teluk Parsi itu.
Tentera laut Iran selesai menjalani latihan tentera 10 hari di timur selat itu, awal minggu ini dengan ujian peluru berpandu anti kapal turut dilakukan.
Pemimpin politik dan tentera Iran telah memberi amaran bahawa mereka mungkin menutup selat itu jika kuasa-kuasa Barat menambah sekatan yang akan menghentikan eksport minyak negara itu.
Tentera laut Iran juga telah memberi amaran bahawa ia akan melaksanakan tindak balas jika Amerika cuba mengerahkan semula salah satu kapal induk pesawat udaranya ke selat itu.
Dari masa ke masa, Pengawal Revolusi Iran mengadakan latihan tentera di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya.
Latihan ketenteraan Iran yang terakhir di selat itu, dilakukan pada Julai lalu.
Semasa latihan itu, Iran turut menguji beberapa peluru berpandu antikapal, termasuk dua peluru berpandu Khalij Fars yang boleh mengena sasaran sejauh 300 kilometer.
Walaupun tidak memberikan butiran tentang latihan ketenteraan yang bakal diadakan, BG Fadavi menyatakan bahawa terdapat perbezaaan ketara antara latihan yang bakal diadakan dengan yang pernah diadakan sebelum ini. — AFP.








