Integriti Jadi Tunjang PAS

113
Ahmad Amzad Hashim

KUALA TERENGGANU – Integriti menjadi tunjang kepada perjuangan PAS dijelaskan dalam ucapan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengupas topik rasuah menunjukkan komitmen tinggi kepimpinan, memastikan tadbir urus negara sentiasa berada di landasan yang bersih.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan ucapan perbahasan Presiden PAS sebagai satu penegasan tegas terhadap prinsip integriti yang diperjuangkan parti.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, penekanan terhadap ‘kerajaan bebas rasuah’ bukan sekadar retorik, malah telah dibuktikan melalui rekod pentadbiran di negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS.

“Kita perlu tegaskan sekarang walaupun kita memerintah di Kedah, Terengganu, dan Kelantan, kita masih lagi mengekalkan imej PAS sebagai sebuah parti yang bersih dan bebas rasuah,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau turut tertarik dengan hujah Presiden yang menekankan soal pengukuhan iman bermula dari peringkat kanak-kanak sebagai benteng utama mencegah penyelewengan.

Katanya, Individu berilmu tanpa iman hanya akan menggunakan kepakaran mereka untuk menipu.

“Rasuah bukan sahaja menjejaskan individu terlibat, tetapi memberikan impak buruk kepada seluruh negara,” katanya.

Amzad turut memetik teguran Tuan Guru Presiden bahawa dosa rasuah adalah lebih besar daripada dosa peribadi kerana sifatnya yang merosakkan sistem masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pendekatan sistem pendidikan yang turut disentuh oleh Tuan Guru Presiden sebagai satu kupasan yang baik, di mana pendekatan zaman dahulu harus dijadikan iktibar mengikut kesesuaian tempoh masa dan umur kanak-kanak.

“Jadi saya rasa apa yang ditegas oleh Tuan Guru tadi merupakan teguran yang jujur dan juga satu lambang, satu isyarat bahawa PAS konsisten dari segi sikap terhadap isu rasuah ini,” tambah beliau.