Menurut Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Khalil Abdul Hadi, dalam lawatan tersebut, Dato Seri Tuan Guru Presiden sempat singgah di Mesir untuk mengunjungi pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimun.
Katanya, dalam pertemuan tersebut Presiden PAS diberi taklimat mengenai perkembangan berhubung suasana politik yang berlaku.
“Tuan Guru di berikan taklimat perkembangan yang lebih dekat suasana politik Mesir, khususnya selepas era kejatuhan Hosni Mubarak,
“dan (selepas) kemenangan Parti Alhurriyyah wa Al’adalah (Parti Kebebasan dan keadilan) dan juga (berkaitan) Mohammad Mursi (dilantik) sebagai Presiden Mesir yang baru dipilih,”ujar beliau melalui e-mel yang dihantar kepada Buletinonline.
Beliau yang juga Ketua dewan Pemuda PAS Marang berkata, pada Selasa 10 Julai 2012 Dato Seri Presiden sempat mengunjungi Dr Mehdi Akeef mantan Mursyid Am Ikhwan Muslimun.
[Gambar – Presiden PAS bersama Dr Syed Azman bertermu dengan Dr Mehdi Akeef]
Katanya, dalam pertemuan itu, Presiden PAS mengucapkan penghargaan di atas kejayaan jamaah Ikhwan Muslimun dan sayap politiknya Parti Hurriyyah wa Al-‘adalah di atas kejayaannya di dalam pilihanraya baru-baru ini.
“Beliau (Tuan Guru) juga menegaskan bahawa kejayaan ini menjadi inspirasi kepada gerakan dan parti Islam lain untuk melakar kemenangan di tempat masing-masing memandangkan kedudukan Mesir yang yang sangat strategik di dalam Dunia Islam,”jelasnya.
Ustaz Khalil menambah, Dato’ Seri Tuan Guru turut memberikan penjelasan berkenaan suasana politik dan isu-isu semasa terkini yang berlaku di Malaysia.
Turut sama mengiringi Dato’ Seri Tuan Guru ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.








