Inspirasi Dua Suri Hati Mantan MB Terengganu

175

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Menelusuri pengalaman kehidupan dua suri hati mantan Menteri Besar Terengganu cukup menginspirasikan terutama kepada muslimat untuk istiqomah dalam perjuangan Islam.

Ketua As Sabiqat Muslimat Terengganu, Zaiton Abas berkata rombongan seramai lapan orang itu telah berkunjung ke rumah mantan Menteri Besar(MB) Terengganu Ke-Sebelas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk bertemu isteri, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah atau lebih mesra disapa sebagai ‘ Che Ngoh’.

“Kunjungan kami untuk mendengar sendiri kehidupan seorang isteri kepada pemimpin Parti Islam Semalaysia( PAS) yang sentiasa sibuk menguruskan jemaah yang besar,

“Perkongsian hidup dengan Tuan Guru Presiden yang dikurniakan 11 orang cahaya mata,” katanya.

Menurutnya, dalam kesempatan pertemuan tersebut, Che Ngoh sempat menitipkan kata-kata semangat untuk meneruskan perjuangan sehingga ke akhir hayat.

“Usia bukan ukuran dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah, masing-masing mempunyai posisi yang tersendiri,

” Berilah sumbangan untuk jemaah sementara sihat dan umur masih panjang, walau pun kita hanya sekadar duduk di rumah” ujarnya.

Tidak ketinggalan dan kunjungan pada Rabu, 20 September di Kampung Rusila itu, rombongan turut singgah ke rumah Ustazah Fatimah Ismail, isteri mantan MB Keenam, Ustaz Daud Abdul Samad yang menerajui Terengganu dari 29 Jun 1959 hingga 8 November 1961.

“Ustazah Fatimah yang lebih suka membahasakan dirinya sebagai Mok Su adalah mantan Ketua Muslimat PAS Terengganu yang kini telah menjangkau usia 96 tahun tetap bersemangat walaupun tidak mampu berjalan.

“beliau kelihatan dapat mengenali beberapa orang di antara kami namun lupa nama tetapi ingatannya masih kuat untuk menceritakan sedikit sebanyak pengalaman berharga ketika bergerak aktif suatu ketika dulu,” ceritanya.

Antara pesanan Mok Su, sambung beliau lagi, teruskan menyambung kerja dakwah dengan sabar dan berilmu kerana sifat sabar akan membantu untuk berdepan mehnah dalam perjuangan.

“Pertemuan ini sangat bermakna untuk generasi hari ini terus bergerak menyambung perjuangan yang telah di rintis oleh mereka yang terdahulu , meneroka jalan sehingga kita nikmati kejayaan hari ini,” jelasnya.