Insaf Atau Ego?

327

Mungkin asbab dosa saya, Covid 19 makin meningkat. Saya mohon keampunan dari Allah agar dosa-dosa saya diampuni. Semoga wabak ini segera dijauhkan dari kita semua. Saya menginsafi kelemahan saya.

Mungkin juga peningkatan kes Covid 19 ini adalah kerana dosa anda semua. Maka segeralah anda berdoa kepada Allah agar dosa anda semua dimaafkan dan wabak akan segera diangkat.

Atau mungkin juga dengan bertambahnya jumlah penyakit ini adalah untuk meningkatkan keimanan dan martabat kita semua, maka bersabar atas segala kesulitan dan ujian ini, pastinya dijanjikan Allah fadhilat di sisiNya. Semua ini diajar oleh Allah dan rasul untuk kita insaf.

Namun, menyalahkan sesama sendiri, terutama orang lain, tanpa merasakan dirinya berdosa, itu adalah sesuatu yang tiada dituntut dalam Islam. Iblis merasa megah dengan terciptanya dirinya daripada api sambil merendah-rendahkan Adam yang berasal dari tanah. Tiada tersedar dia akan penciptaan dirinya adalah dari Allah.

Akhirnya Iblis terhumban keluar dengan penuh kehinaan kerana enggan, sombong dan angkuh untuk mengaku kesalahan dirinya dan tidak mahu sujud kepada Adam sebagaimana yang diperintahkan. Tiada mulia akan api yang menjadi kebanggaannya itu.

Anda pasti dapat melihat golongan mana yang bertindak seperti tiada agama, terutama kepada ulamak. Melakukan kesalahan adalah biasa sebagai manusia. Berbeza dengan melakukan dosa. Maka golongan gila yang menghina ulamak kerana kesalahan dan bukan dosa, adalah golongan yang tidak sedar diuntung. Ada agenda tersembunyi pastinya.

Bukan sahaja ulamak, malah kepada sesiapa sahaja termasuk orang biasa yang dia rasakan perlu untuk dihina, dia akan menghina. Benar, Allah membenci dosa, tetapi bukan keperluan kita sebagai manusia untuk menghina tubuh badan pelakunya. Benci hanya dosa itu.

Kita dapat lihat antara sikap orang beragama dengan yang mengikuti jalan Iblis….jangan kita mengikuti mereka.

Mohd Nasir Abdullah
7 Oktober 2020