Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menghargai usaha pihak kerajaan khususnya Jabatan Penerangan Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Timbalan Ketuanya Nurul Islam Mohammed Yusoff, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Penerangan Malaysia, terdapat enam program utama yang telah dan akan dianjurkan sempena Sambutan Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini.
Namun begitu, sayap PAS itu menyarankan agar satu program sambutan selama tiga hari di Chow Kit dibatalkan bagi menghormati tragedi MH17 dan MH370.


“Rentetan daripada rangkaian peristiwa menyayat hati telah berlaku baru-baru ini sehingga meragut nyawa rakyat Malaysia dalam tragedi MH17 dan nasib yang belum pasti dalam insiden MH370, maka adalah lebih baik program 3 hari tersebut dibatalkan,”ujarnya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas pembatalan Konsert Merdeka dan acara bunga api mega yang sinonim diadakan pada setiap tahun.
Nurul berkata, pihak kerajaan seharusnya membawa idea-idea baru dan lebih segar untuk menyuntik semangat kecintaan terhadap negara terutama dikalangan anak muda.
“ini adalah ‘platform’ terbaik untuk menonjolkan solidariti bersama seluruh pemimpin utama dan rakyat di negara ini untuk menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar,”katanya.



























