Ijtimak Tarbawi 2022: Meledak Kebangkitan Anak Muda Milineal PAS

197

Oleh :Dr Riduan Mohamad Nor |

Tiga hari lagi maka akan berlangsung program besar tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia, 30 September sehingga 1 Oktober ini, himpunan amal tarbawi Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2022 di Kompleks Pendidikan Tahfiz an Nur Besut Terengganu. . Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak tarbawi di Rusila, taman Melewar , seterusnya Pagoh Johor, di yayasan an Nahdhah Pulau Pinang, Melaka , Kuala Kangsar,Perak . Program ini direhatkan dalam musim pandemik yang telah meragut ramai korban termasuk aktivis-aktivis PAS diseluruh negara. Sekalung doa buat kader-kader pemuda PAS yang kembali ke alam abadi akibat wabak mendunia ini, Ustaz Rizuan Rahmat, Zahimi Shariff, Shazli Munir, Cikgu Raja Ismail Raja Shahdan serta lain-lain nama .

Pelbagai himpunan atau ijtimak telah diadakan oleh pemuda PAS sejak dekad 60an bagi memugar semangat kepemudaan, mencetak kader kader dakwah, juga sebagai wahana persiapan pilihanraya Dewan Pemuda PAS. Dalam dekad kebangkitan Islam pula , selepas peralihan kepimpinan ulama ,pelbagai ijtimak tarbawi diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya.

Dekad 1980an menyaksikan ramai aktivis pemuda PAS mendekam dalam tahanan ISA dan ini makin mengikat ukhuwwah pemuda-pemuda untuk menjadi benteng kepada perjuangan Islam. Program yang paling berskala besar ialah ijtimak alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami,Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya. Ijtimak alami yang diadakan di perkampungan Rusila telah menghimpunkan lebih seratus ribu orang amilin PAS daripada seluruh negara.

Insyaallah dalam Ijtimak Tarbawi 8.0 ini, kompleks Pendidikan Tahfiz an nur Besut dan kawasan sekitarnya akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh dan menadah kitab daripada murabbi Presiden PAS, mengunyah pengisian daripada tokoh-tokoh Majlis Syura Ulama, Pengerusi Lujnah tarbiah Pusat, pimpinan Ulama Pusat. Ijtimak Tarbawi akan diserikan dengan gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh pelbagai unit dalam jamaah, NGO-NGO mesra jamaah , peniaga pelbagai barangan dan lain lain lagi.

Ijtimak Tarbawi 2022 Dewan pemuda PAS Malaysia akan dimudahkan dengan pelbagai inisiatif untuk memudahkan peserta- peserta. Telah lebih sebulan tuan rumah Ijtimak bekerja keras bagi memastikan kelancaran program serta memudahkan panitia induk program,

antara penambahbaikan akses dan kemudahan yang pejabat Penyelaras Parlimen Besut akan ikhtiarkan ialah :

1. Kenderaan angkut ulang alik sebanyak 40 buah pacuan 4 roda , 100 buah motorsikal dengan kerjasama ARC.

2.kolam mandi Rambai utk 100 orang setiap masa, hanya 500 meter drp kompleks an nur Besut.

3. Klinik sementara oleh anggota PAPISMA

4. Jalan sehala digunakan untuk masuk ke lokasi Ijtimak

5. Memohon bantuan tangki air tambahan daripada pihak JKR daerah

6.parkir tambahan dikawasan kejiranan kompleks tahfiz dan tanah kolej al Quran yang baru dibeli.

7.pembaikan pondok- pondok kediaman dalam tempoh 21 hari ini

8. Mengemaskan tanda arah ke lokasi serta kemudahan keluar masuk ke tapak lokasi.

9. Menyediakan ambulan khas NGO- NGO Islam

10. Menjanjikan gerai- gerai makanan dan minuman mencukupi utk seluruh peserta ijtimak sepanjang program.

11. Menyiapkan tandas tambahan untuk peserta, serta pencahayaan tapak program.

12. Menyiapkan senarai masjid, surau,markas tarbiah, premis PASTI dalam lingkungan radius 20 km.

13. Menyediakan bekalan air sabil kepada peserta- peserta ijtimak .

14. Menambah telaga tiub untuk bekalan air peserta- peserta, termasuk tangki poli sebagai tempat wuduk tambahan.

15. Menambah kipas serta penghawa dingin bagi keselesaan peserta-peserta.

Jika ada kekurangan nanti, bersabarlah kerana inilah medan ujian dan sebagai ramuan tarbiah kepada anak-anak muda. Jangan terlalu selesa dalam perjuangan kerana zon selesa akan membunuh perasaan ingin berkorban, membunuh semangat kepemudaan yang berkobar-kobar. Insan pejuang mestilah tahan uji,tahan lasak, tidak manja atau seperti insan kayangan. Pejuang ditempa daripada olakan mehnah dan ibtila’ , yang manja tak akan memilih bersama kelompok haraki ini, bahkan sifat manja menyebabkan hilang kemanisan berjuang!

Dengan jangkaan sepuluh ribu peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar kompleks an Nur Besut, program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid , mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini. Lebih dua tahun berehat daripada Ijtimak skala mega sebegini,pastilah satu kerinduan yang sangat menggebu kepada para pemuda yang cintakan program amal tarbawi.

PAS walaupun disibukkan dengan medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau lebih sejuta orang dan dua juta penyokong. Wadah ini bak sebuah kampus yang tak lelah mencerahkan akal ahli.

Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh tujuh dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah.Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di tanah watan ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada dirakaman sejarah negara.

Pemuda Islam yang akan menggalas beban perjuangan PAS dimasa hadapan, bukan anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibunya. Islam tak akan menang ditangan sang pengecut dan pemuda yang manja, dua hari bukanlah tiga bulan di tengah Sahara atau di hamparan ais di kutub Utara. Bawa bantal dan selimut , bawa juga semangat menggebu untuk menadah ilmu serta saling menyintai sesama abnaul harakah . Jom anak muda,kita serbu Ijtimak Tarbawi 2022 dibumi Besut yang unik,antara kepongahan dan ukhuwwah semahal tempayan emas!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Tetap DPPM)