Ijtimak Tarbawi 2022; Kaderisasi Dakwah Dan Program Persiapan Fikrah

153

Oleh :Dr Riduan Mohamad Nor

Gerakan Islam ini semakin membesar keahliannya, meranum dengan bakat-bakat baru, banjiran anak-anak muda berpendidikan dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latarbelakang . konsistensinya di medan dakwah,tarbiah dan dakwah telah teruji dalam tempoh yang panjang , 71 tahun di negara ini , meranduk belantara mehnah dan ibtila’. Usai program mega ,Muktamar Tahunan PAS 68 tahun PAS di Kota Sarahg semut Kedah , jangan lupa pula program besar tahunan Dewan Pemuda Malaysia, 30 September sehingga 1 Oktober ini, yang akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2022 di Kompleks Pendidikan Tahfiz an Nur Besut Terengganu. . Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak tarbawi di Rusila, KUIZM di Taman Melewar , seterusnya Maahad Muhammadi Pagoh Johor, di Kompleks Yayasan an Nahdhah Pulau Pinang, berpindah pula lokasi ijtimak di bumi Melaka . Program ini direhatkan dalam musim pandemik yang telah meragut ramai korban termasuk aktivis-aktivis PAS diseluruh negara.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 1960an telah ratusan kali mengadakan ijtimak tarbawi dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah dan anggota pemuda yang kompeten dan piawai. Semasa DPPP dipimpin oleh Ustaz Hasan Shukri ,seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin Iraq , program ini dinamakan SPEM.DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutama tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu. Menurut almarhum Ustaz Hassan Shukri, pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah berjaya menghadapi serangan agresif ,tak beradab pemuda UMNO yang dikenali sebagai pemuda tahan lasak.

Dalam dekad 1980an, dasawarsa kebangkitan semula Islam pula , selepas peralihan kepimpinan ulama ,pelbagai ijtimak tarbawi diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya. Dekad 1980an menyaksikan ramai aktivis pemuda PAS mendekam dalam tahanan ISA dan ini makin mengikat ukhuwwah pemuda-pemuda untuk menjadi benteng kepada perjuangan Islam. Program yang paling berskala besar ialah ijtimak ‘alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami,Ikhwanul Muslimin , HAMAS dan juga gerakan Islam yang lainnya. Ijtimak alami yang diadakan di perkampungan Rusila telah menghimpunkan lebih seratus ribu orang amilin PAS daripada seluruh negara.

Insyaallah dalam Ijtimak Tarbawi 8.0 ini, kompleks Pendidikan Tahfiz an nur Besut dan kawasan sekitarnya akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh dan menadah kitab daripada murabbi Presiden PAS. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh pelbagai unit dalam jamaah, NGO-NGO mesra jamaah , peniaga pelbagai barangan dan lain lain tarikan lagi.

Ijtimak Tarbawi 2022 Dewan pemuda PAS Malaysia akan berlangsung dengan euphoria santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan tokoh jemputan daripada Majlis Syura Ulama. Dengan jangkaan sepuluh ribu peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar kompleks an Nur Besut, program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid , mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini. Lebih dua tahun berehat daripada Ijtimak skala mega sebegini,pastilah satu kerinduan yang sangat menggebu kepada para pemuda yang cintakan program amal tarbawi.

PAS walaupun disibukkan dengan medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau lebih sejuta orang dan dua juta penyokong. Wadah ini bak sebuah kampus yang tak lelah mencerahkan akal ahli.
Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh tujuh dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah.Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di Negara ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada dirakaman sejarah negara.

TADAH KITAB TAFSIR DENGAN AYAH CHIK

Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah semenjak tahun 70an lagi. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah , jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan beliau.Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan.

Kepimpinan ulama haraki yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah dan perkaderan dakwah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak diatas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong.

Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan pengorbanan beliau, bahkan merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau yang tak pernah lelah memberi mutiara ilmu buat anak muda dan masyarakat.

Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan , meredah alur atau ke pulau terbiar, Ayah Chik tetap hadir Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin.Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Presiden dan Naib ketua ulama sedunia, namun program tarbiah adalah keutamaan sejak dekad 70an sehingga jamaah ini sepentas dengan Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Ramai generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak mengenali kehebatan Presiden PAS, namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang sangat mengesankan.kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti air yang jernih yang turun daripada bukit seterusnya menakung dalam kolam yang teguh.Daya ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, menyihir anak-anak muda yang tekun .

Pemuda Islam yang akan menggalas beban perjuangan PAS dimasa hadapan, bukan anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibunya. Islam tak akan menang ditangan sang pengecut dan pemuda yang manja, dua hari bukanlah tiga bulan di tengah Sahara atau di hamparan ais di kutub Utara.Jom anak muda,kita serbu Ijtimak Tarbawi 2022 dibumi Besut yang unik,antara kepongahan dan ukhuwwah semahal tempayan emas!

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, mantan ketua DPP Wilayah Persekutuan)