Ijtimak Tarbawi 2014: Kaderisasi Dakwah Dan Program Persiapan Fikrah

1504

Oleh :Dr Riduan Mohamad Nor |

Gerakan Islam ini semakin membesar dan menerima kehadiran penyokong yang pelbagai latarbelakang , konsistensinya di medan dakwah,tarbiah dan dakwah telah teruji dalam tempoh yang panjang , 63 tahun di negara ini . Usai program mega , sambutan 63 tahun PAS di kuala kangsar, jangan lupa pula program besar tahunan Dewan Pemuda Malaysia, 5 Disember sehingga 7 disember ini, yang akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2014 di Yayasan An Nahdhah Pulau Pinang. Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak tarbawi di Rusila, taman Melewar , seterusnya Pagoh Johor.

Dewan Pemuda PAS semenjak dekad 60an telah ratusan kali mengadakan ijtimak tarbawi dalam kerangka mencetak kader-kader dakwah. Semasa dipimpin oleh Ustaz Hasan Shukri ,seorang anak tarbiah Ikhwanul Muslimin program ini dinamakan SPEM.DPPP bergerak ke setiap negeri untuk mempersiapkan fikrah pemuda terutama tonggak lima rukun yang digagaskan oleh gerakan Islam fenomenal itu.pemuda PAS yang diasak dengan program tarbiah telah Berjaya menghadapi serangan tak beradab pemuda tahan lasak UMNO yang dikenali sebagai pemuda tahan lasak.

Dalam dekad kebangkitan Islam pula , selepas peralihan kepimpinan ulama ,pelbagai ijtimak tarbawi diadakan dengan menggunakan pelbagai jenis tema seperti ijtimak mustad’afin, ijtimak penerangan dan sebagainya,namun yang paling berskala besar ialah ijtimak alami yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar gerakan Islam antarabangsa, termasuk daripada gerakan Jamiat Islami,Ikhwanul Muslimin dan juga gerakan Islam yang lainnya.

Yayasan an Nahdhah dan kawasan sekitarnya akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh dan menadah kitab daripada murabbi Presiden. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh pelbagai unit dalam jamaah, NGO Muslim Care, peniaga pelbagai barangan dan lain lain lagi.

IMG-20141205-WA0036Ijtimak Tarbawi 2014 Dewan pemuda PAS akan  berlangsung dengan euphoria  santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah, juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat dan tokoh jemputan daripada Majlis Syura Ulama. Dengan jangkaan sepuluh ribu peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar kompleks an Nahdah, program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid , mencetak kader-kader dakwah dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini.

PAS walaupun disibukkan dengan medan siasah namun tidak melupakan kewajipan asasinya untuk membenihkan kefahaman terhadap ahli-ahlinya yang kini menjangkau sejuta orang dan dua juta penyokong.

.Rahsia kekuatan PAS dapat bertahan dalam tempoh enam dekad ini ialah kerana kejayaan mentarbiah ahlinya, berdada dengan kezaliman pemerintah.Tanpa tarbiah, maka PAS telah lama berkubur di Negara ini seperti puluhan gerakan lain yang hanya berada dirakaman sejarah negara.

TADAH KITAB TAFSIR DENGAN AYAH CHIK

Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah semenjak tahun 70an lagi. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali, Tuan Guru haji Hadi bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Dasawarsa  70an dan 80an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah , jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan beliau.Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 (transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan.

Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS  berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak diatas kefahaman ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong.

Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap  jasa dan pengorbanan beliau, bahkan merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau yang tak pernah lelah memberi mutiara ilmu buat anak muda dan masyarakat.

Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan , meredah alur atau ke pulau terbiar, Ayah Chik tetap hadir Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin.Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Presiden dan Naib ketua ulama sedunia, namun program tarbiah adalah keutamaan sejak dekad 70an sehingga jamaah ini sepentas dengan Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Ramai generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak mengenali kehebatan Presiden PAS, namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang sangat mengesankan.kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti air yang jernih yang turun daripada bukit seterusnya menakung dalam kolam yang teguh.Daya ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, menyihir anak-anak muda yang tekun .

Pemuda Islam yang akan menggalas beban perjuangan Pas dimasa hadapan, bukan anak-anak kecil yang disuap makan oleh ibunya. Islam tak akan menang ditangan sang pengecut dan pemuda yang manja, tiga hari bukanlah tiga bulan di tengah Sahara atau di hamparan ais di kutub Utara.Jom anak muda,kita serbu Ijtimak Tarbawi 2014.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, mantan ketua DPP Wilayah Persekutuan)