Iftar GEN Z Jadi Medium Dekati Wanita Muda

240

DUNGUN – Seramai 80 orang peserta menyertai Program Iftar GEN Z, Sinar Ramadan yang menghimpunkan wanita muda berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Ketua Ameerah Dungun, Nur Izni ‘Aqilah Ismail berkata, pendekatan santai melalui program berbuka puasa dilihat semakin berkesan dalam mendekati generasi muda khususnya wanita bagi menyemai nilai keagamaan dan kesedaran sosial dalam kalangan mereka.

“Bagi daerah Dungun, mengambil pendekatan menghimpunkan wanita muda dalam suasana santai sempena berbuka puasa bagi mengeratkan ukhuwah dan memberi ruang untuk saling berkenalan.

“Program ini juga menjadi platform buat mahasiswi yang sedang bercuti semester serta lepasan sekolah untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan inspirasi dan mendekatkan diri dengan aktiviti dakwah serta kemasyarakatan,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam masa sama, program berkenaan turut membuka peluang kepada peserta untuk membina jaringan serta berinteraksi secara langsung dengan pimpinan setempat.

Menurutnya, pendekatan menghimpunkan wanita muda dalam suasana santai sempena Ramadan memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan membina hubungan ukhuwah.

“Program ini bukan sahaja sekadar majlis berbuka puasa, tetapi menjadi platform untuk mendekati generasi muda agar mereka lebih terbuka untuk terlibat dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut juga memberi peluang kepada mahasiswi yang sedang bercuti semester dan lepasan sekolah untuk mendapatkan inspirasi serta pendedahan awal berkaitan kepimpinan dan peranan wanita dalam masyarakat.

Izni berkata, pihaknya akan terus memperbanyakkan program yang memberi ruang kepada generasi muda khususnya wanita untuk mendekati aktiviti dakwah, kebajikan dan pembangunan diri.

Menurutnya, usaha berterusan tersebut penting bagi memastikan wanita muda mempunyai jati diri yang kukuh dan mampu memainkan peranan positif dalam masyarakat.

Sementara itu, dalam program tersebut, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli turut dijemput berkongsi pandangan mengenai tiga fasa penting dalam kehidupan iaitu pendidikan, ekonomi dan kesihatan.

Beliau menasihatkan golongan wanita muda supaya memberi tumpuan kepada fasa pendidikan sebagai asas penting sebelum melangkah ke alam pekerjaan serta sentiasa menjaga pegangan agama dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Program tersebut merupakan inisiatif di bawah Program Sinar Ramadan yang dilaksanakan hasil kerjasama antara Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) dan Ameerah Terengganu di setiap daerah di negeri ini. Iftar GEN Z Jadi Medium Dekati Wanita Muda