i-SHARP Punca Banjir, Sudah Terang Lagi Bersuluh!

1132

Walaupun pihak Kerajaan Negeri kelihatan cuba memejamkan mata akan hakikat yang berlaku, tetapi bangkai gajah tidak lagi mampu ditutup dengan daun lalang. Ibarat sudah terang lagi bersuluh kejadian banjir luar biasa ini memang berpunca dari kerja-kerja projek i-SHARP ini!

Kita telah membangkitkan ketika peringkat awal perlaksanaan projek dahulu bahawa kawasan yang dibangunkan itu adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Setiu dan dilimpahi air ketika musim banjir.

Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air. Lantas, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai ratusan juta ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah telah dan sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir.

Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar. Tambakan tanah juga akan menghalang pengaliran air banjir ke Sungai Setiu.

Tinjauan segera skuad Lujnah Alam sekitar Pas Terengganu ke lokasi mendapati, pembinaan jalan masuk ke dalam tapak projek sepanjang lebih kurang 2 km menjadi penghalang utama aliran air banjir ke Sungai Setiu yang menyebabkan berlaku fenomena ‘air sebak’ mengikut istilah penduduk tempatan, walaupun paras air Sungai Setiu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi  Dalam hal berkaitan, Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu menghargai  Laporan TV Al Hijrah dan akhbar tempatan serta berterima kasih atas sikap professional dan bertanggungjawab mereka yang turun sendiri ke lapangan bagi mengesahkan situasi sebenar yang berlaku. Laporan mereka mengesahkan kebenaran fakta yang kami utarakan sejak lebih 2 tahun lalu.

Penduduk tempatan juga mengakui bahawa ketiga-tiga kejadian banjir sepanjang musim tengkujuh tahun ini adalah luar biasa dan tidak berpadanan dengan jumlah hujan yang turun terutamanya sekitar Kampung Nyatoh, Kampong Bukit Kemudu dan Kampung Banggol di mana di Kampung Banggol, penduduknya menjadi mangsa berganda apabila tanah RTB pertanian yang menjadi sumber pencarian mereka turut dimangsakan demi projek udang ini.

Sebelum ini, walaupun perlaksanaan projek telah berjalan dalam tempoh melebihi dua tahun dengan pelbagai impak sampingan mulai dirasai dan terdedah, kerajaan seolah-olah ingin menyembunyikan hakikat sebenar projek ini dari makluman umum. Apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang sukar disangkal barulah kerajaan berjanji akan memantau perlaksanaan projek yang dikatakan akan menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk menerima pelabur lain yang ingin melabur di dalam bidang yang sama di negeri ini.

Betul atau tidak pemantauan dilakukan, masih menimbulkan kesangsian. Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini, maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan. Kalau tidak, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata.

Tuntutan kita bukannya supaya pihak kerajaan memberikan jawapan politik yang tak berkesudahan, tetapi tindakan tegas dan berkesan sebelum nasi menjadi bubur. Ditambah lagi dengan cuaca yang belum lagi menentu dengan kemungkinan banjir gelombang seterusnya akan melanda sekali lagi. Kalau pun bukan ditahun ini, selagi ada bulan dan matahari, tengkujuh akan melanda lagi. Ironinya, impak ini telah menjadi igauan penduduk sekitar disaat ketika perlaksanaan projek belum lagi siap sepenuhnya. Lantas apa lagi mimpi ngeri akan mereka alami apabila projek ini telah siap dan beroperasi sepenuhnya.

Suatu perjudian yang besar apabila sebuah syarikat yang belum berjaya membuktikan hasil dan prestasi dalam industri berkaitan dianugerahkan 1,000 hektar tanah dengan taraf pajakan selama 30 tahun yang turut mengorbankan hak dan mata pencarian rakyat kemudian menghasilkan pula impak negatif alam sekitar dan sosio ekonomi setempat sedangkan hasilnya masih terlalu samar.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar
PAS Terengganu.