i-SHARP Menyusahkan Rakyat, Najib Perlu Bertanggungjawab!

713

Walaupun seorang daripada mereka pernah menggelar delegasi kami sebagai Yahudi kerana masuk membuat tinjauan ke kawasan projek mereka, hakikat sebenarnya bos mereka di Kuala Lumpur telah melakukan kesalahan yang lebih besar dengan menceroboh tanah penduduk tanpa kebenaran.

Blue Archipelago juga melaksanakan kerja-kerja  melanggar ‘Local Agenda’ yang menggariskan bahawa penduduk setempat mesti dimaklumkan dan diambil pandangan bagi setiap projek yang ingin dilaksanakan di mana-mana lokasi kerana merekalah yang bakal menanggung kesannya.

Kita tidak mahu membuang masa berhujah dengan pekerja di lapangan kerana mereka bukanlah pembuat dasar yang menentukan polisi syarikat, apatah lagi sebahagian mereka telah saya anggap sebagai kawan.

Ada di antara mereka yang secara jujur pernah mengunjungi saya dan mengakui bahawa apa yang i-BANTAH perjuangkan adalah suatu kebenaran terutamanya pekerja syarikat yang biasa minum kopi bersama para nelayan yang bersiap untuk turun ke laut menangkap ikan diawal pagi dan mendengar sendiri keluhan para nelayan. 

Kita melihat dari segi polisi dan dasar. Sedia dimaklumi, pemaju projek i-SHARP, Syarikat Blue Archipelago Berhad adalah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad yang merupakan syarikat induk cabang pelaburan Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan.

Khazanah Nasional memiliki Sembilan Ahli Lembaga Pengarah dengan Najib Tun Razak Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah. Ia berperanan menguruskan semua aset komersil kerajaan Malaysia dan merupakan pemegang amanah aset kewangan negara.

Dari segi faktanya, Najib sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah Nasional perlu bertanggungjawab di atas semua tindakan anak syarikatnya yang terbukti telah menyusahkan rakyat. Ditambah lagi dana RM300 juta untuk projek i-SHARP yang diambil daripada Khazanah Nasional adalah dana awam atau dengan istilah mudah, duit rakyat!

Berbincang dengan pekerja di lapangan tidak menyelesaikan apa-apa. Kuasa untuk mengambil suatu tindakan drastik bagi menyelamatkan keadaan, ada di Putrajaya. Saya juga cukup yakin bahawa pegawai-pegawai tinggi Blue Archipelago Berhad tidak memaklumi tentang bencana yang telah menimpa penduduk ekoran kerja-kerja mereka.

Justeru, kerana itulah, apabila seorang pekerja teknikal syarikat memaklumkan, “Kalau inginkan maklumat berkaitan dengan projek, hubungilah ibu pejabat…” Saya dengan tegas menyatakan, “Saya hidup bersama rakyat, menyelami masalah mereka, melihat kesukaran mereka, mendengar rintihan mereka, yang saya perjuangkan adalah isu rakyat, pegawai kamu di ibu pejabat tahu ke tidak rakyat kena banjir luar biasa ekoran projek kamu?”

Saya tidak berminat lagi untuk mendengar teori-teori kosong, kononnya inilah ‘green projek’, ‘enviromentally friendly’, menyediakan peluang pekerjaan, tanah rakyat telah dibayar pampasan setimpal, projek akan menjadi pemacu ekonomi dan pelbagai lagi ungkapan yang semakin kabur realitinya.

Maka dengan itu, i-BANTAH telah merangka fasa seterusnya dalam pelan bertindak kami. Pasti ianya lebih agresif, drastik dan menyeluruh. Dalam masa yang sama kami menyanjung dan menghormati kedaulatan undang-undang yang sedia ada walaupun kadang-kadang rakyat kecil di kesampingkan demi maslahah golongan korporat.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Lujnah Pengguna & Alam Sekitar
PAS Terengganu
Merangkap Pengerusi i-BANTAH

Berita terbaru berkaitan;

Tangguh Projek Udang i_SHARP Setiu
Impak Negatif I-SHARP semakin membimbangkan
Siapa Yahudi?? Pembela atau penceroboh tanah rakyat
i-SHARP Punca Banjr, Sudah Terang Lagi Bersuluh