Hukuman Mati Abdul Quader : Boikot Bangladesh

809

South East Asia Regional Muslim Youth (SARMY) Melahirkan rasa simpati ke atas Maulana Abdul Quader Mollah, Penolong Setiausaha Agung Jamiat Islami Bangladesh yang akan dijatuhkan hukuman mati pada malam ini. Beliau dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Agung Bangladesh ekoran tuduhan beliau melakukan jenayah perang dalam peperangan menuntut kemerdekaan tahun 1971 daripada Pakistan.

Kami melihat tindakan tersebut adalah suatu manifestasi dendam kemarahan yang membuak-buak Sheikh Hasina terhadap kebangkitan Jamiat Islami, yang mendapat sokongan majoriti penduduk berjumlah 160 juta di Bangladesh. Hukuman mati terhadap Maulana Abdul Quader Mollah melunaskan kebencian beliau setelah beliau mengharamkan Jamiat Islami daripada bertanding dalam pilihanraya umum di Bangladesh sebelum ini.

Sesungguhnya tindakan ke atas Maulana Abdul Quader adalah suatu tragedi yang mematikan langsung ruang demokrasi di Bangladesh. Selepas ini rakyat di negara tersebut serta seluruh dunia akan mengenang Sheikh Hasina sebagai seorang diktator, kuku besi yang zalim dan mencabut segala hak dan kebebasan rakyat. Sukar bagi rakyat Bangladesh untuk menghirup keamanan, kesejahteraan dan kebebasan di negara tersebut jika pemimpinnya bersikap demikian.

Kami melihat apa yang berlaku adalah suatu tragedi hitam dalam perjuangan menegakkan Islam oleh jemaah Islam terbesar di Bangladesh itu. Malah dunia Islam juga akan berkabung dan menangisi pemergian pejuang yang hebat dan gigih tersebut. Hukuman mati ini tidak akan mematikan semangat aktivis dan pemimpin Jamiat Islami untuk tunduk dengan tekanan penguasa tirani malah mereka terus bangkit berjuang sehingga mendapat kejayaan atau syahid menurut jejak langkah Abdul Quader.

Kami merasa kesal kerana Bangladesh telah mencacatkan nama Islam pada negaranya dengan tindakan zalim sedemikian. Meskipun majoriti penduduknya beragama Islam, namun tindakan zalim pemerintahnya lebih hina dan teruk berbanding negara-negara yang lainnya. Kami juga mendesak agar kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik dan tegas dengan memutuskan hubungan dengan Bangladesh disamping memboikot negara tersebut. Tidak ada gunanya Malaysia berbaik dengan pemimpin negara yang membunuh dan menzalimi rakyat di negaranya sendiri.

***** Artikel adalah kenyataan media DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL HISS Pengerusi South East Asia Regional Muslim Youth (SARMY)
***Bangladesh Jamaat-e Islami leader to be hanged after midnight | Asia-Pasific | World Bulletin – http://www.worldbulletin.net/?aType=haber&ArticleID=124691