DUNGUN – Khidmat Malaysia merupakan platform yang menghimpunkan sukarelawan PAS dalam menguruskan operasi kecemasan dan bantuan bencana di seluruh negara.
Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, setiap sukarelawan perlu sentiasa meningkatkan penguasaan ilmu, kemahiran serta memastikan setiap gerak kerja dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, YB Dr. Alias Razak, himpunan sukarelawan seperti ini merupakan ruang penting untuk menambah pengetahuan, khususnya melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran antara pasukan dari kawasan-kawasan.
“Ukhuwah juga merupakan satu perkara yang sangat penting untuk diperkasakan dalam menghadapi bencana. Kekuatan inilah yang menjadikan kita mampu bertahan menghadapi ujian dan musibah,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan pasukan sukarelawan bukan hanya terletak pada kelengkapan dan kemahiran teknikal, tetapi juga pada kesatuan hati, semangat kebersamaan dan keikhlasan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.
Himpunan ini diharapkan menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh jaringan sukarelawan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan Khidmat Malaysia, khususnya dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bakal tiba.









