BESUT – Seramai 270 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM40,500 menerusi inisiatif Kerajaan PAS.
Pengarah MTD Kuala Besut, YB Haji Azbi Salleh berkata, sumbangan itu merupakan antara usaha membantu pelajar meneruskan pengajian di samping meringankan beban kewangan mereka sepanjang menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi.
Katanya, pendidikan merupakan pelaburan paling berharga untuk masa depan kerana ilmu bukan sahaja menjadi asas mencapai kejayaan dalam kerjaya, malah berperanan membentuk insan berilmu, berakhlak dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
“Menuntut ilmu bukan sekadar tiket mengejar kejayaan duniawi, tetapi juga bertujuan menghilangkan kejahilan serta membentuk insan bertakwa dan berakhlak mulia.

“Ilmu yang diperoleh seharusnya menjadikan seseorang lebih merendah diri dan bersedia mencurahkan bakti kepada masyarakat, bukannya melahirkan sifat sombong,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Kuala Besut berkata demikian ketika merasmikan program Sumbangan Pendidikan IPTA dan IPTS DUN Kuala Besut, di Dewan Kampung Baharu, hari ini
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar supaya berpegang kepada prinsip T-I-G-A, iaitu menjaga hubungan dengan Tuhan, ibu bapa dan guru sebagai asas membina kejayaan yang diberkati.
Menurutnya, amalan solat lima waktu, membaca al-Quran serta memperkukuh asas agama perlu dijadikan benteng dalam menghadapi pelbagai cabaran dan gejala sosial ketika berada di alam pengajian tinggi.

Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga adab terhadap pensyarah serta menghargai doa dan pengorbanan ibu bapa bagi memastikan ilmu yang diperoleh membawa keberkatan dalam kehidupan.
Justeru itu beliau berharap para penerima menggunakan peluang diberikan dengan sebaik-baiknya, belajar bersungguh-sungguh, menjaga disiplin dan menghormati pensyarah sepanjang berada di menara gading.










