DUNGUN – PAS menggesa kerajaan mengurangkan birokrasi dan mengambil tindakan memperbaiki segera jalan runtuh dan retak akibat banjir yang melanda negeri ini.
Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, orang kampung mahu menggunakan jalan itu yang turut membabitkan laluan utama untuk membeli keperluan harian dan urusan penting.
http://youtu.be/M9YsyoM6WWc
Ia sangat penting, kata beliau, terutama sekali apabila menghadapi sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.
“saya harap pihak berwajib menyegerakan pembaikian jalan supaya orang kampung di sini boleh gunakan segera,
“kerana saya tengok selain satu laluan yang putus sepenuhnya ada lima atau enam kawasan yang retak menunggu runtuh,”ujarnya yang ditemui selepas melawat kawasan terbabit pada Rabu 31 Disember.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dua kenyataan yang berbeza diantara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung baik pulih jalan tersebut.
ADUN Paka itu berkata, sebagaimana yang dilaporkan oleh media, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Ir Rosli Othman mendakwa kerosakan keseluruhan jalan-jalan akibat banjir yang akan dibaiki berjumlah lebih RM100 juta dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri.
Sebaliknya kata beliau, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pula berkata, Kerajaan pusat akan membuat taksiran segera peruntukan bagi membaik pulih jalan utama ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun yang runtuh.
“saya mewakili rakyat tidak mahu karenah birokrasi menyebabkan sesuatu projek yang sepatutnya boleh disegerakan menjadi lambat,
“orang kampung di sini sekarang terpaksa melalui ‘jalan balak’ yang juga rosak ekoran banjir dan sangat merbahaya……..saya tengok dan lalu hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh lalu,”ujar beliau.
Beliau yang juga Ahli Jawtankuasa Kira-kira Kerajaan Negeri Terengganu turut memberi ingatan kepada kerajaan supaya projek-projek tersebut dilaksanakan dengan kajian yang terperinci, telus dan akauntabiliti.
Ia adalah perlu, katanya, bagi mengikis tanggapan buruk orang ramai setelah berlakunya kejadian runtuh dan rosak kepada bangunan dan binaan kerajaan sebelum ini.
“kerajaan kata…..jalan runtuh sebab ada laluan air bawah tanah……jadi sekarang masa musim hujan ini adalah tempoh yang baik untuk mengkaji kedudukan tanah dan aliran mata air,
“tender projek pula perlu mengikuti peraturan dan dilaksanakan telus serta kontraktor yang dilantik mestilah berwibawa,”tegasnya.
Turut sama dalam lawatan itu adalah Ketua Penerangan PAS Dungun Naraza Muda, Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) PAS Bukit Besi Haji Ghazali Sulaiman dan Setiausaha Pemuda Zul Shawaluddin Jusoh
Ustaz Satiful turut menziarahi penduduk Kampung Shukur dan Kampung Pasir Raja yang terjejas akibat banjir serta mengagihkan bantuan berupa barangan makanan kepada mereka.










