Hari berkabung negara yang diisytiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, telah mendapat perhatian warga maya dan pengguna telefon pintar.
Beberapa mesej yang ditujukan kepada orang-orang Islam berupa peringatan tentang hukum berkabung telah disebarkan dalam rangkaian warga maya.
Berikut adalah antara mesej yang diterima oleh pihak kami;
Hukum berkabung kerana kematian pembesar negara
Soalan:
1. Apabila berlaku kematian membabitkan pembesar negara. Kita sering melihat sebahagian rakyat memakai pakaian tertentu seperti baju hitam/sokong berlilit putih dan sebagainya. Adakah amalan ini ada dalam ajaran Islam?
2. Sebagai kakitangan kerajaan, adakah wajar saya mematuhi arahan ini sekiran bukan daripada ajaran Islam?
Jawapan 1:
Dalam ajaran Islam, yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari. Ini telah ditegaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Surah al-Baqarah ayat 234, maksudnya:
“Dan mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menangguh (menunggu iddah) selama empat bulan, 10 hari..”.
Dalam hadis Nabi SAW bersabda:
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan 10 hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berkabung dengan pantang larangnya mempunyai latar sejarah yang tersendiri yang berasal daripada amalan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Walau bagaimanapun, Islam membuang amalan buruk yang ada padanya dan mengekalkan atau menambah nilai-nilai baik agar dapat menjaga serta memelihara nama baik seorang isteri.
2. Hadis Nabi SAW:
“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa selain isteri, tidak dibolehkan berkabung melainkan keizinan atau kelonggaran kepada wanita yang kematian keluarga, dengan syarat tidak lebih dari tiga hari. Sebab itu dalam riwayat Zainab binti Abi Salamah, dia berkata,
“Aku masuk menemui Ummu Habibah r.ha iaitu isteri Nabi SAW ketika sampainya berita kematian ayahnya Abu Sufyan r.a dari negeri Syam. Pada hari ketiga setelah ayahnya (Abu Sufyan) meninggal, Ummu Habibah meminta minyak wangi lalu mengusapkannya pada kedua sisi wajahnya dan kedua pergelangannya. Beliau berkata: Demi Allah! Aku sebenarnya tidak berkeinginan terhadap wangian, cumanya kerana aku pernah mendengar Rasulullah SAW : Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan 10 hari.”
3. Telah wafat Rasulullah SAW sedangkan para sahabat baginda yang amat mengasihi baginda tidak melakukan amalan berkabung. Telah wafat para khalifah yang sangat mulia; Abu Bakr, Umar, Uthman, ‘Ali dan seluruh para sahabat Nabi SAW yang mulia, umat Islam tidak pernah membuat amalan berkabung! Telah meninggal ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz khalifah yang agung, umat Islam juga tidak berkabung. Padahal mereka lebih layak untuk ditangisi dan berkabung –jika diizinkan.
Generasi mereka lebih faham dan menghayati Islam dibandingkan kita. Telah meninggal ramai ulama yang sangat besar dan berjasa seperti para tabi’in, para imam hadis dan fekah, tidak pula umat Islam berkabung. Apakah ada sesiapa yang lebih mulia dari mereka semua untuk kita berkabung?
4. Maka amalan berkabung sempena kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam. Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula Rasulullah SAW dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah SAW, apakah kita merasai pembesar dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka? Sama sekali tidak.
Jawapan 2:
Sabda Nabi SalLahu alayhi wasallam :
“Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat pada Khaaliq (Allah)” – Hadis Riwayat Ahmad, Syaikhan, Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.
Saudara tidak wajar untuk mematuhi arahan yang bercanggah dengan syariat (sekalipun arahan tersebut datang daripada pemimpin Islam). Cubalah sedaya upaya untuk tidak terlibat dengan sebarang perkara yang tidak terkandung dalam ajaran Islam seperti berkabung dan juga program yang melalaikan umat Islam.
Hukum Tafakkur Dan Berkabung
Submitted by FatwaMalaysia on 21 August 2014 – 8:31am
Akidah
ISU:
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
PENJELASAN:
Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan ‘moment of silence’ lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan ‘moment of silence’, namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.
Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias.
Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.
Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662
Wallahu a’lam.











