Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Ijtimak Alami kali ketiga telah melabuhkan tirai dengan jayanya, para peserta dan delegasi luar negara pulang dengan segunung keazaman untuk memperkukuhkan wadah Islam dan penyatuan ummat. Isu Palestin yang diangkat menjadi tema besar ijtimak dan PAS diharapkan untuk mengepalai masyarakat antarabangsa untuk membebaskan tanah suci umat Islam itu sebagaimana yang ditegaskan oleh wakil HAMAS, Dr Khalid Khoudomi.


Secara geografisnya palestin ialah wilayah di kawasan timur tengah yang merupakan salah satu tempat bersejarah di dunia. Dalam al-Quran, Palestin disebut sebagai Baitulmuqaddis atau Tanah Suci. Negara ini merupakan tempat suci agama Yahudi, Kristian, dan Islam. Maka ia menjadi pusat persengketaan pelbagai bangsa selama ribuan tahun.pada akhir 1800 muncul gerakan Zionisme yang bertujuan menjadikan palestin negara merdeka bagi bangsa yahudi. Dengan bantuan kuasa kuffar Barat yang telah mengusahakan Balfour Treaty pada tahun 1927, warga yahudi menubuhkan negara Israel (1948) di wilayah Palestin.
Palestin dan seluruh negara Arab menentangnya terutama daripada gerakan Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Imam Hassan al-Banna yang telah menghantar satu batalion pejuangnya untuk mempertahankan palestin. Namun Ikhwan akhirnya dikhianati regim Mesir sehingga puluhan ribu ahlinya mendekam dalam penjara.


Pada 29 November 1947, PBB membahagikan Palestin menjadi negara Arab dan negara yahudi. Sementara itu, Baitulmuqaddis berada di bawah pengawasan antarabangsa. Keputusan PBB itu diterima oleh bangsa Yahudi, tetapi ditolak oleh bangsa Arab. Akibatnya perang Arab-Israel pun meletus.setelah Britain mengundurkan diri dari Palestin (1948), Yahudi mengisytiharkan Negara Israel dengan ibu kotanya Baitulmuqaddis. Bangsa arab palestin dibantu oleh bangsa arab lain menyerang Israel. Genjatan senjata yang diusahakan oleh PBB terjadi pada 1948 dan 1949 tanpa menandatangani perjanjian damai.
Perlu juga diingat bahawa dalam tempoh gawat ini dua orang tokoh penentang penubuhan negara haram Israel telah mati dibunuh iaitu Hassan al-Banna dan Syeikh Amin al-Husaini. Pembunuhan mereka adalah komplot yang dirancang bagi meletakkan jalan selesa bagi pengekalan negara haram Israel. Juga, jangan dilupakan jasa besar tokoh PAS sendiri, iaitu Dr Burhanuddin al Helmi yang telah dipenjarakan dua kali dalam isu tanah Palestin iaitu pada tahun 1935 dan 1937 oleh British.


Perjuangan untuk membebaskan setiap inci bumi Palestin adalah tugas wajib setiap mukmin. Seperti ujar Dr Khalid, PAS mempunyai sumbangan besar kearah itu terutama memberikan kesedaran kepada umat Islam dan juga setia membantu Gaza yang terpuruk melalui pelbagai wahana. Ijtimak yang menghimpunkan wakil daripada 41 buah negara kali ini membuat penegasan bahawa perjuangan membebaskan al Quds bukan sahaja milik bangsa Arab namun setiap yang memiliki syahadatain. Gerakan Islam wajib meletakkan agenda besar ini dalam nuansa perjuangan mereka dan PAS wajib menjadi pemicunya diperingkat global.
(Penulis ialah AJK Pas Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)






























