HARAP 3.5; PAS Gempur Kubu Umno Besut

2996

Oleh : KAM

BESUT -PAS Terengganu menggempur ‘kubu’ kuat Umno Terengganu di Besut dalam Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap) 3.5 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Raja, Besut pada 23 hingga 25 Februari ini.

Yang Dipertua PAS (YDP) Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata Besut merupakan kubu kuat Umno sekaligus melambangkan kekuatan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Namun, katanya kekuatan itu semakin lemah apabila Umno-BN kini sudah hilang kepercayaan di kalangan ahli parti sendiri.

Menurutnya, peluang PAS kembali cerah bagi mengulangi sejarah kemenangan parti itu sebagaimana tahun 1999 lalu.

“Selesai kita bersolidariti di Padang Merbok kerana H355 dan kini, seluruh ahli dan jentera parti (PAS) Terengganu akan ‘berkampung’ pula di Dun Kampung Raja, Besut untuk Harap 3.5.

“Sebelum ini, Besut adalah kubu kuat Umno dan BN Terengganu. Tapi, hari ini kekuatan itu sudah menjadi lemah dan lesu kerana tidak lagi dipercayai oleh ahli-ahlinya.

“Kita (PAS) akan mengumpul kekuatan dan sasaran untuk menang empat Dun satu Parlimen semakin cerah seperti tahun 1999 yang lalu, In shaa Allah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat akhir persiapan di tapak program, Kampung Raja di sini pada Rabu 22 Februari.

Katanya, kemenangan PAS Besut itu akan dapat membantu merealisasikan hasrat parti untuk kembali memerintah Terengganu Darul Iman.

“Saya menyeru dan mengajak kepada seluruh pendukung gerakan Harakah Islamaiyah PAS untuk sama-sama memikul tanggungjawab sebagai tetamu atau penyambut tetamu.

“Kehadiran ribuan peserta Harap 3.5 kelak akan membantu menyuntik semangat bekerja dengan penuh komited dan iltizam untuk menjayakan operasi menawan Terengganu dalam PRU14.

“Visi dan misi yang telah kita sepakati itu sangat penting untuk dijayakannya. Insya’Allah, PAS Kawasan Besut akan menjadi pelengkap kepada kemenangan itu,” jelasnya.