Hakim tolak permohonan larang YouTube siar filem

651
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita4/cindy-lee-garcia-innocence-of-muslims-660.jpg

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Amerika Syarikat, Louis Lavin, menolak permohonan Cindy Lee Garcia supaya mahkamah melarang YouTube daripada menunjukkan treler filem itu di lamannya.

Lavin menolak permohonan peguam Garcia supaya satu perintah pengekangan dikeluarkan bagi menghalang YouTube daripada terus menayangkan treler filem bajet rendah itu.

Garcia, salah seorang pelakon wanita filem itu, memfailkan tuntutan saman terhadap pengarah filem tersebut, yang menggunakan nama samaran, Sam Bacile, Rabu lalu.

Katanya, Bacile atau nama sebenarnya Nakoula Basseley Nakoula, memperdayakannya supaya mempercayai bahawa filem itu mengenai masyarakat Mesir kuno yang diberi judul Desert Warrior.

Beliau membuat tuntutan saman yang mendakwa Bacile menceroboh ketenteramannya, memperdaya, memfitnah dan dengan sengaja menyebabkan emosi beliau terganggu.

Garcia turut mengemukakan saman terhadap laman perkongsian video YouTube dan pemiliknya, Google Inc, kerana menayangkan sedutan filem yang kelihatan sangat amatur itu.

Menurutnya, filem itu dialih suara ke bahasa Arab dan diterbitkan untuk menunjukkan Nabi Muhammad saw sebagai seorang samseng yang kaki perempuan.

Garcia ialah salah seorang daripada tiga pelakon wanita dalam filem itu yang tampil dengan dakwaan bahawa mereka diperdaya.

Versi bahasa Inggeris treler sepanjang 14 minit itu, yang telah pun dihalang tontonannya di beberapa negara, menunjukkan beberapa bahagian dialog yang dialih suara.

Dalam tuntutan itu, Garcia mengatakan bahawa beliau mengalami penderitaan emosi, masalah kewangan dan “reputasi serta kerjayanya kini musnah”.

Malah, peguam beliau, Cris Armenta, berkata akibat ditipu pengarah dan penerbit filem itu, nyawa Cik Garcia kini dalam bahaya.

Selain Garcia, seorang lagi pelakon wanita, Anna Gurji, terpaksa menelan pil tidur kerana berasa tertekan akibat dikecam dan berasa tidak selamat selepas bantahan dan pembunuhan berlaku ekoran tersiarnya klip video Innocence of Muslims di laman YouTube.

Gurji, 21 tahun, melakonkan watak isteri muda seorang lelaki bernama ‘George’, yang kemudian ditukar oleh pengarah filem tersebut kepada Muhammad dengan menggunakan proses alih suara.

Sementara itu, presiden pertubuhan Media for Christ, yang disenaraikan sebagai syarikat penerbitan filem itu, Encik Joseph N. Abdelmasih, kini berada dalam persembunyian.

Bacile, 55 tahun, dan keluarganya turut berada dalam persembunyian sekarang.

Bacile, seorang penganut Kristian Koptik dari Mesir, difahamkan seorang penipu yang pernah dijatuhi hukuman penjara 20 bulan pada Jun 2010.

Dia tidak kelihatan sejak disoal pegawai parolnya pada 15 September lalu.

Bacile, bersama penasihat skrip filem itu, Steven Klein, dipercayai pengikut paderi Kristian Koptik Amerika, bernama Zakaria Botros Henein.

Henein pernah digelar Musuh Ketat Islam Nombor 1 kerana ajarannya yang memperkecilkan Islam.-Cyberita