PAS menyifatkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, tidak ubah seperti syok sendiri dan menafikan realiti beban berat yang ditanggung oleh rakyat.
Ketua Penerangan PAS Dato’ Mahfuz Omar berasa amat hairan atas kenyataan Menteri itu yang hanya membuat kesimpulan mudah, sekadar berpandukan statistik kementerian.
“Adakah dengan kurangnya aduan itu bermakna rakyat sudah faham dan terima GST.? Setiap hari kita boleh membaca di akhbar, portal berita dan laman media sosial berkenaan keluhan dan aduan rakyat berkenaan pelaksanaan GST ini telah membebankan mereka.!
“Iklan promosi GST yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui siaran televisyen, radio dan papan tanda besar itu hanyalah seperti kata pepatah ‘indah khabar dari rupa’,”jelas Mahfuz.
“Jikalau dahulu barang keperluan harian dan makanan yang dibeli itu pada harga tertentu, namun setelah GST harga yang perlu dibayar meningkat naik.
“Bukankah itu membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana?,”soal Ahli Parimen Pokok Sena itu dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Hasan Malek dilaporkan berkata bahawa, rakyat sudah memahami dan boleh menerima pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu.
Aduan dibuat hanya atas perkara yang melanggari peraturan dan garis panduan pelaksanaan GST, sedangkan rakyat sebenarnya marah dan tertekan kerana kerajaan tetap berdegil untuk melaksanakannya walaupun dibantah oleh ramai pihak.
Justeru, Mahfuz mendesak kerajaan khususnya pihak Menteri agar tidak berterusan membuat kenyataan yang mengguris dan memperlekeh rakyat kerana rakyat.
“(ia) akan dilihat sebagai begitu rendahnya mentaliti dan sensitiviti para pemimpin dalam memahami kepayahan mereka bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat naik.
“Jikalau Menteri masih lagi berminat untuk membuat kenyataan sebegitu, saya mencadangkan Menteri berundur diri dan mandaftarkan nama sebagai peserta Maharaja Lawak Mega supaya rakyat bolehlah terhibur melihat gelagat Menteri di atas pentas nanti,”kata Mahfuz sinis.





























