Gelombang Politik: Jangan Mabuk Laut, Pening dan Bocorkan Bahtera

1291

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kepada mereka yang baru mengenali dan menyertai PAS merasakan gelombang yang berlaku ini sangat teruk.

Oleh itu, beliau mengingatkan ahli PAS berwaspada dengan ‘gelombang’ politik yang sedang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor agar tidak mengambil tindakan ‘bodoh’ dan merosakkan ‘bahtera PAS’.

Bahkan, kata beliau secara kiasannya ada pihak yang tidak tahan dengan gelombang tersebut diibaratkan seperti ‘mabuk laut’ serta pening.

20140905_161600 (1024x477)“Nabi SAW sebut dalam hadisnya yang bermaksud, Kamu laksana berada dalam satu bahtera, ada orang yang duduk di petak yang atas dan ada yang duduk di petak yang bawah. Lalu orang yang duduk di petak yang bawah ini bermasalah dengan mereka yang duduk di petak yang di atas..kerana payah hendak dapat air sangat.

“Lalu orang yang di petak bawah kata jika hendak air cepat ambil kapak tebuk kapal ini. Tebuk kapal dapat air cepat, kapal pun tenggelam…habis mati belaka. Atau pun kita sabar, jangan tebuk kapal itu semua akan selamat sama ada yang duduk di petak atas selamat dan bawah pun selamat.

“Kita kena jaga jangan ada puak-puak kita ini, bila gelombang kuat hendak tebuk kapal. Ini kena jaga…jangan tebuk kapal.

“Kepada mereka (ahli) yang baru menyertai PAS merasakan gelombang yang berlaku sehari dua ini sangat teruk sehingga ada yang ‘mabuk laut’ dan pening,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Dailog dan Penjelasan Isu Terkini Bersama Presiden PAS di Dewan Tok Guru Rusila, Marang pada Jumaat 5 September.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa telah mengikuti perkembangan PAS sejak dari tahun 50-an serta menyaksikan pelbagai krisis politik berlaku hingga menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu.

Malah, beliau turut membaca kisah-kisah sejarah krisis ‘dalama’n PAS seawal ditubuhkan parti itu sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

20140905_161950 (1024x576)“Saya mengikuti PAS sejak tahun 50-an dan menyaksikan krisis yang menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu tahun 1961. Menyaksikan krisis kejatuhan kerajaan PAS Kelantan tahun 1978.

“PAS sendiri yang menerima masalah. Masalah ‘dalaman’ kita sendiri sehingga menumbangkan dua kerajaan negeri. Saya juga membaca krisis yang dialami oleh PAS seawal ditubuhkan sebelum merdeka,” ujarnya.

Di ambang menghadapi tahun 1955, kata Ustaz Abdul Hadi, ketika itu PAS kehilangan Presidennya yang pertama keluar parti.

Manakala, katanya pada tahun 60-an pula, Setiausaha Agung PAS keluar parti dan peristiwa tahun 1978 di Kelantan menyebabkan tujuh lapan orang pimpinan pusat keluar parti dan PAS tidak goncang dan tidak jatuh.

“Apa yang berlaku sehari dua ini sikit sangat dan kepada mereka yang baru hendak belajar politik sudah rasa berat. Masalah yang berlaku di Selangor bukan masalah kita (PAS). Masalah yang dibuat oleh rakan kita, yang kita terpaksa menolong memikulnya.

“Kita (PAS) telah membuat keputusan untuk menyerahkan kerajaan negeri Selangor kepada Parti KeADILan Rakyat (PKR). Rakan kita dalam Pakatan Rakyat dan telah berjaya memerintah satu penggal, kerajaan yang bersih hingga tidak ada ruang bagi kerajaan pusat untuk menghentam kerana tidak ada kesilapan dan kesalahan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Abdul Hadi menegaskan urusan memilih pemimpin sebagai Ketua Kerajaan itu mestilah yang berkelayakan serta memenuhi hukum Islam.

20140905_162457 (1024x576)“Syarat hukum Islam untuk jadi pemimpin hendaklah seorang yang layak, yang mampu untuk memikul jawatan sebagai Ketua Kerajaan.

“Hadis Nabi SAW ada menyebut, yang bermaksud barang siapa yang mewakilkan urusan orang Islam, dia melantik seseorang orang Islam memegang jawatan bukan kerana kelayakan dia tetapi kerana kecenderungan dia, kerana sebab-sebab puak dia dan bukan kerana kebolehan dia. Tuhan tidak terima tebusan duit sehingga diseret ke dalam neraka jahanam”, jelasnya melalui maksud hadis Nabi SAW.

Justeru, katanya, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat mestilah berpegang di atas asas-asas yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kita hendaklah berpegang bahawa Pakatan Rakyat berpijak di atas asas-asas yang termaktub dalam Perlembagaan. Pertama, mendokong demokrasi. Kedua, memegang konsep dan prinsip Islam Agama Persekutuan dan ketiga ialah Raja Berperlembagaan.

“Kita tidak boleh lihat Raja macam ‘tunggul kayu’ itu tidak boleh kerana peranan Raja ada…tetapi ada di kalangan ‘puak’ kita ini hendak buat Raja macam tunggul kayu. Itu tidak boleh dan tidak diizinkan sama sekali.

“Kita tidak boleh letak Raja ini yang ‘hodoh’ bagaimana pun hendak buat dia (Raja) macam tunggul kayu, tidak boleh (buat). (Raja) ada peranan dia.

“Saya bukan fanatik dan taksub kepada Raja…tidak, tapi akhlaknya kena begitu. Tambahan pula akhlak kita orang Melayu dan orang Islam. Ini kita kena faham dan dengan sebab itu, ahli-ahi kita (PAS) kena faham dalam hal yang berlaku macam ini,” tegasnya di hadapan lebih 1000 hadirin.