Gambar lucah – Anggota Kongres letak jawatan

1232

NEW YORK: Anggota Kongres Amerika Syarikat, Encik Anthony Weiner (gambar), yang minggu lalu mengaku menghantar gambar berahi dirinya melalui Internet, kelmarin meletak jawatan sebagai ahli dewan perundangan.

Ia sekali gus mengakhiri kontroversi berkaitan skandal itu yang turut menjejas imej Parti Demokrat.

‘Saya telah berharap dapat meneruskan khidmat di kawasan para penduduknya telah melantik saya.

‘Malangnya, gangguan yang saya sebabkan telah menjadikanya ia sesuatu yang mustahil. Oleh itu hari ini (kelmarin) saya mengumumkan peletakan jawatan saya dari Kongress,’ kata Encik Weiner kepada pemberita di pusat warga emas di Brooklyn, tempat beliau pernah mengumumkan akan bertanding kerusi majlis bandar raya buat julung kali 20 tahun lalu.

Beliau kelihatan tenang berbanding 10 hari lalu apabila menitiskan air mata semasa membuat pengakuan menghantar mesej dan gambar tidak senonoh kepada wanita-wanita yang dikenalinya menerusi Internet.

Bintang yang meningkat naik dalam arena politik Parti Demokrat itu pernah dilaporkan bakal bertanding jawatan Datuk Bandar New York.

Beliau mengumumkan keputusan meletakkan jawatan seorang diri tanpa kehadiran isterinya.

Isterinya merupakan pembantu khas Setiausaha Negara Cik Hillary Clinton.

Selama lebih seminggu, Encik Weiner menafikan beliau mengirim gambar dirinya yang hanya memakai seluar pendek kepada seorang wanita di Seattle pada 28 Mei.

Beliau sebaliknya mendakwa akaun Twitternya digodam.

Bagaimanapun, pada 6 Jun lalu, Encik Weiner mengaku berbohong dan mengesahkan menjalin hubungan dengan sekurang-kurangnya enam wanita, yang sebahagiannya berlaku selepas beliau berkahwin.

Walaupun Parti Demokrat dan Republikan menggesa beliau meletak jawatan, Encik Weiner sebaliknya diberi cuti dua minggu bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan profesional di sebuah pusat pemulihan.

Awal minggu ini, seorang aktres filem lucah, Ginger Lee, mendedahkan Encik Weiner telah memintanya berbohong tentang hubungan siber mereka.

Lee, yang juga seorang penari bogel, berkata beliau mula berhubung dengan Encik Weiner melalui e-mel untuk berbincang tentang hak pengguguran dan penjagaan kesihatan tetapi ahli Kongres itu dikatakan sering menukar topik perbualan kepada perkara-perkara berunsurkan seks.

Katanya, beliau tidak pernah membalas sebarang mesej lucah Encik Weiner – Agencies