G-8 sokong reformasi Timur Tengah; Janji bantu $101b untuk Mesir, Jordan, Tunisia dan Maghribi

857

Negara perusahaan utama di dunia berikrar akan mengambil tindakan konkrit dan segera bagi membantu negara-negara Arab yang sedang melalui gelombang pembaharuan.

Para menteri luar negara Kumpulan Lapan (G-8) juga berkata mereka akan menyokong negara-negara Timur Tengah lain yang ingin melaksanakan peralihan kepada sistem demokrasi.

Sejauh ini, sekitar AS$80 bilion ($101 bilion) bantuan telah diikrarkan untuk Mesir, Jordan, Tunisia dan Maghribi bagi tempoh dua tahun mendatang, menurut Menteri Luar Perancis, Encik Alain Juppe.

[Gambar – Pemimpin negara G-8 ketika pertemuan mereka di Peranchis Mei lalu]

Kenyataan itu dibuat menyusuli pertemuan yang diadakan di sini, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini.

Gelombang revolusi bermula di Tunisia pada awal tahun ini, sebelum ia merebak ke Mesir.

Pemimpin kedua-dua negara itu telah diguling selepas pemberontakan rakyat.

Kini, pemberontakan turut berlaku di Libya, Yaman, Bahrain dan Syria.

‘Gelombang Revolusi Melur hari ini merupakan satu sumber harapan yang besar. Ia bermula daripada aspirasi rakyat di rantau ini untuk mendapatkan lebih kebebasan, keadilan dan maruah diri.

‘Ia membentangkan kedua-dua cabaran politik dan ekonomi, yang memerlukan tindakan segera dan bersama,’ kata G-8 dalam satu kenyataan di akhir mesyuarat itu.

Encik Juppe berkata kerjasama di antara G-8 dengan negara-negara Arab harus ‘ikhlas’ tetapi bergantung kepada negara-negara yang terjejas untuk melaksanakan sendiri pembaharuan, dalam usaha mereka beralih kepada sistem demokrasi.

Mengulas, Menteri Luar Mesir, Encik Muhammed Amr, berkata rantau Timur Tengah kini sedang melalui perubahan bersejarah yang memerlukan tindakan luar biasa.

‘Kami berpendapat apa saja yang kami bakal putuskan seharusnya mapan dan dapat dilaksanakan segera.

‘Masa itu penting. Rakyat kami mempunyai harapan yang sangat tinggi dan mereka mahu melihat hasilnya,’ kata Encik Amr.

Pemerintah baru di Mesir dan Tunisia kini menerima tekanan daripada rakyat supaya melaksanakan pembaharuan politik.

Antara lain, rakyat Mesir menuntut lebih banyak pekerjaan, gaji lebih tinggi dan ketelusan politik.

Menurut G-8, pelan yang diusul untuk lima negara Arab yang dibantu itu, termasuk usaha mengukuhkan pembangunan ekonomi melalui bantuan dua hala dan pembangunan sektor swasta.

Kenyataan itu berkata negara G-8 juga bersedia menawarkan bantuan dalam usaha negara-negara itu melaksanakan pembaharuan institusi dan perlembagaan. — AP.