Fokus Kerajaan PAS Membantu Rakyat

198
wan sukairi

KUALA TERENGGANU – Fokus kerajaan PAS dan Menteri Besar (MB) ketika ini adalah untuk membantu rakyat yang terhimpit dengan kesusahan akibat wabak COVID-19.

Ketua Penerangan PAS Trengganu, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, selama tiga tahun memerintah, Ahmad Samsuri dan seluruh barisan exco telah mencapai banyak kejayaan.

“Memasuki tiga tahun pemerintahan, kita telah berjaya melaksanakan 14 Manifesto dan empat lagi bakal dilaksanakan tak lama ini.

“Ketika kita semua diuji dengan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat(PKPD), kerajaan negeri telah melancarkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 untuk semua Dewan Undangan Negeri(DUN) tanpa mengira parti politik.

“Ini semua antara kejayaan yang telah dilakukan di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri. Sebelum atau ketika diuji COVID-19, beliau telah meletakkan sepenuh perhatian untuk kebaikan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media mengulas fitnah yang dilontarkan oleh sebuah portal pro- Pakatan Harapan.

Justeru itu, tegas beliau, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyatakan pendirian, berdiri teguh bersama kepimpinan MB, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, dakwaan PAS menghadapi pertikaian dalaman adalah tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kami sedia maklum akan fitnah yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan reputasi MB Terengganu dan juga PAS Terengganu.

“Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu menyatakan teguh bersama Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu yang dilantik secara sah pada PRU14 yang lalu,” ujarnya.

Katanya, sebagai penegasan, satu laporan polis juga telah dibuat, dan pihaknya berharap agar semua ahli dan penyokong PAS serta rakyat Terengganu menolak budaya buruk dan tidak berakhlak itu.