Exco PAS Yang Berani!

1027

Krisis politik Selangor telah memperlihatkan empat pemimpin PAS Selangor yang diberikan amanah oleh rakyat dan parti, tidak lalai melaksanakan tanggungjawab mereka serta taat patuh dengan arahan jamaah.

Bahkan sikap tegas mereka, hasil tarbiyah PAS yang mantap, jelas dapat dibaca, dilihat dan didengar melalui kenyataan-kenyataan media mereka.

Berikut adalah petikan dari kenyataan-kenyataan empat orang Exco PAS Selangor yang dipetik dari media.

IskandarKena Fikirkan Rakyat, Teruskan Khidmat – Iskandar Abdul Samad

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad tegas menyatakan semua Exco parti itu terus menyokong pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tidak akan melepaskan jawatan seperti didakwa.

Mengenai khabar angin pelawaan PAS untuk Abdul Khalid menyertai parti itu, Iskandar memaklumkan perkara itu masih belum diputuskan PAS Pusat.

“Buat masa ini Exco Pas Selangor akan meneruskan pentadbiran negeri seperti biasa kerana tidak adil untuk rakyat.

“Kami akan beri kerjasama kena fikirkan rakyat. Jika berhenti atau tak beri kerjasama, ia akan menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka PAS, pada 11 Ogos.

Iskandar berkata, Exco PAS tidak ada masalah dan kekal dengan pendirian PAS Selangor, Majlis Syura dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau turut menangkis dakwaan akan wujudnya Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya pembubaran Dun berlaku.

“PRN…. tidak sampai tahap itu tapi sebagai parti politik kita sentiasa berdepan apa saja termasuk PRN,” katanya.

Ketika ditanya mengenai potensi dirinya dinamakan sebagai calon menteri besar, Iskandar berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku.

“Saya tidak tahu pasal jadi calon menteri besar, di peringkat bawah PAS akan jalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Ahmad yunusExco PAS terus khidmat – Dr Ahmad Yunus

Keempat-empat Exco PAS di Selangor kekal menggalas jawatan mereka sehingga satu keputusan baharu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat pusat parti itu pada Ahad ini.

Menurut Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau ada menemui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun isu sokongan terhadap kepimpinan Adun Pelabuhan Klang itu tidak timbul.

“Saya ada berjumpa dengan menteri besar, dua hingga tiga minit sahaja, membincangkan bagaimana Exco-Exco yang masih tidak meletakkan jawatan untuk bekerja kepada rakyat Selangor.

“Sekarang kini, PAS masih memegang jawatan (Exco) seperti mana yang dikehendaki Pas Pusat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, 12 Ogos lalu.

Semalam, Abdul Khalid memberitahu beliau akan menemui Exco DAP Dan PKR Selangor untuk bertanyakan sokongan mereka kepada beliau selepas dipecat keahliannya dari PKR pada Sabtu.

Ditanya tentang tiga Exco PAS Selangor yang lain, Ahmad Yunus memberitahu mereka tidak menemui Abdul Khalid kerana mempunyai urusan kerja masing-masing di luar pejabat.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut memberitahu bahawa beliau akan menghadiri menghadiri mesyuarat mingguan Exco esok.

“Esok ada mesyuarat Exco dan Insya-ALLAH saya akan hadir kerana saya tidak meletakkan jawatan. Esok biasa pukul 10 pagi.

Ditanya sama ada mengetahui tentang tindakan Exco lain selain PAS yang meletakkan jawatan, Ahmad Yunus berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan tentang perkara tersebut.

Sementara itu, seorang lagi Exco PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad yang ditemui di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga senada dengan kenyataan Ahmad Yunus berhubung kedudukan mereka sebagai Exco.

“Saya rasa sekarang ini perlu teruskan kerja demi memastikan rakyat dapat khidmat terbaik. Saya akur dengan keputusan yang diperkenan tuanku‎ semalam,” katanya.

Ketika ditanya tentang pertemuan khas Abdul Khalid dengan Exco yang dijadualkan hari ini, beliau bagaimanapun berkata tidak dimaklumkan perkara tersebut.

“Saya cuma hadiri mesyuarat dengan Menteri Besar petang ini berkenaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor tentang isu perumahan dan bukan soal sokongan,” katanya lagi.

sallehinPAS benteng terakhir PR Selangor – Ustaz Sallehen Muhyi

Exco PAS meletakkan diri mereka sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan kerajaan PR menerajui kepimpinan Selangor.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, beliau dan tiga rakan Pas yang masih berkhidmat dalam Kabinet Selangor harus bekerjasama dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat perkenan Sultan kerana bimbang akan diganti dengan exco baharu.

“Kalau tidak bekerjasama dengan Abdul Khalid sebagai menteri besar yang diperkenan oleh Tuanku, maka nanti baginda akan pilih orang lain yang boleh bekerjasama dengan Abdul Khalid untuk jadi Exco Selangor.

“Kita tidak tolak kemungkinan Umno yang akan naik jadi exco kalau kami enggan bekerjasama dengan beliau.

“Sebab itu kita merasakan, kalau bercakap dalam konteks PR, boleh jadi kita (PAS) benteng terakhir untuk pertahan kerajaan pakatan rakyat,” katanya ketika ditemui, pada 15 Ogos.

Ketika ditanya pendapatnya berhubung kelancaran pentadbiran Kerajaan Selangor yang dikemudi Abdul Khalid ketika ini, Sallehen mengakui tidak ada sebarang perubahan, malah ahli majlis juga dikekalkan seperti sedia ada.

Dalam pada itu, Sallehen seolah-olah memberi bayangan bahawa pertukaran menteri besar akan dilaksanakan PR, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan mesyuarat Pas esok.

“Bagi kita soal Abdul Khalid bukan faktor…bila parti minta kita untuk terus bekerja maka kita bekerja.

“Apa pun bergantung kepada keputusan pada 17 Ogos. Kalau betul nak tukar menteri besar boleh tukar, kita akan bersama menteri besar yang baharu tapi prosesnya dibuat harus mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

“Tempoh kita jadi Exco bergantung kepada keadaan, boleh jadi sehingga habis penggal iaitu PRU akan datang atau sehingga parti minta kita berhenti,” katanya.

HalimahTiada istilah ingkar – Dr Halimah Ali

Tindakan meneruskan tugas dan bekerjasama dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bermakna Exco Selangor dari Pas ingkar dengan keputusan parti itu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, beliau dan rakan Exco PAS yang lain hanya menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya akan terus bekerja dengan Abdul Khalid sebagaimana arahan parti sebelum ini, kemudian berserah kepada parti dan titah Tuanku Sultan Selangor mengenai kedudukan (exco) selepas ini,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini keempat-empat Exco PAS itu sedang menunggu pucuk pimpinan parti PR untuk membentangkan perkara itu kepada sultan.

Beliau akui ketika ini tidak ada masalah untuk mereka bersama Abdul Khalid atas dasar sebagai anggota exco selain patuh kepada pucuk pimpinan parti.