Enam Kluster Di Terengganu Akibat Tak Patuh SOP Tempat Kerja

133

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan enam kluster Covid-19 yang berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, terbaharu pada 16 Januari lepas, berlaku satu kluster Covid-19 di tempat kerja dan sehingga kini ia telah menular di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu.

“Kluster ini bukan terhad kepada rakan sepejabat sahaja tetapi sudah menular kepada keluarga pekerja dan kontak sosial yang lain yang jumlah keseluruhan kes positif daripada kluster ini seramai 35 orang.

“Kluster Covid-19 sama ada di tempat kerja atau mana-mana pun masih boleh dicegah jika setiap orang amalkan kepatuhan SOP sepenuhnya.

“Jangan ambil mudah nasihat elak 3C dan amal 3W yang sering dipesan Kementerian Kesihatan. Hanya ini tindakan paling berkesan buat masa ini untuk putuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam hantaran Facebooknya pada Rabu.

Tambahnya, elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation), manakala amalan 3W – kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala.

Nor Azimi berkata, semua pihak perlu menilai semula tahap kepatuhan SOP di tempat kerja dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama untuk mencegah penularan Covid-19 pada masa akan datang dengan mengawal tingkah laku masing-masing walaupun dalam keadaan pejabat yang sempit. – Bernama