Elak Tragedi Ketika Aktiviti Jalan Raya

1530

Oleh : Aminji

KEMAMAN – Kelab Permotoran Alternative Riding Club (ARC) perlu mengutamakan aspek keselamatan ketika beraktiviti dan mampu menangani sebarang kecemasan di jalan raya bagi mengelakkan tragedi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pengambilan langkah keselamatan sangat penting kerana penunggang motosikal masih lagi menjadi kumpulan pengguna jalan raya yang paling terdedah dan berisiko dengan kemalangan.

“Kira-kira 80% kemalangan maut di jalan raya melibatkan golongan penunggang motorsikal, sangat tinggi dan angka tersebut telah mencecah sehingga 6,000 (kematian) setahun.

“Ahli ARC juga dinasihatkan supaya mematuhi spesifikasi pengubahsuaian jentera dua roda mereka bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Pihak polis akan memberikan kerjasama sepenuhnya terutamanya dalam aktiviti kesedaran keselamatan untuk penunggang motorsikal,” ujar beliau ketika menerima kunjungan hormat rombongan ARC Kemaman, baru-baru ini.

Sementara itu Ketua ARC Kemaman, Ab Rahman Ngah memberitahu ARC mendekati ahlinya dengan pelbagai aktiviti santai disamping menyebarkan kebaikan beragama.

“Ternyata pendekatan yang digunakan berjaya menarik anak muda menyertai kelab ini sekaligus melebarkan
cabang dakwah sesuai dengan perubahan zaman,” tambah beliau.

Turut bersama dalam perjumpaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, di Cukai tersebut adalah Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kemaman, Asisten Superintendan Zul Ilham Abdul Rahim.