Seorang penduduk di Homs yang hanya dikenali sebagai Abu Bilal menyatakan kebanyakan kanak-kanak di bandar itu berasa sangat sedih kerana sambutan Aidilfitri pada tahun ini seperti tidak memberi sebarang makna kepada mereka.
“Tiada makanan, hadiah atau baju baru untuk mereka pada Syawal kali ini,” katanya.
Abu Bilal turut menceritakan pengalamannya yang terpaksa meletakkan beg pasir pada tingkap masjid semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Menurutnya, jemaah terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga kerana khuatir akan menjadi sasaran pasukan tentera yang sebelum ini sering membedil secara rambang di kawasan kejiranan tersebut.
Sementara itu, kemunculan Presiden Bashar al-Assad bersama beberapa pegawai kerajaan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Hamad di Damsyik telah mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak sehingga menyebabkan beberapa kumpulan penduduk mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara dan beberapa bandar lain.
Kebanyakan daripada melaungkan slogan mengutuk kekejaman tentera kerajaan yang bertanggungjawab di atas kematian saudara serta ahli keluarga mereka.
Protes yang diadakan secara serentak oleh penduduk Syria telah ‘mewarnai’ sambutan pada hari pertama Aidilfitri di negara tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, aktivis memaklumkan sekurangkurangnya sembilan orang termasuk dua kanak-kanak dilaporkan terkorban selepas tentera pro-Assad membedil kubu pemberontak di bandar Maaret al-Numan, barat laut wilayah Idlib.
Menurut mereka lagi, seramai 84 termasuk 28 orang awam juga terbunuh dalam insiden berasingan yang menyasarkan kubu pemberontak di seluruh negara.
Sehingga kini, keganasan yang tercetus sejak lebih setahun lalu di Syria telah meragut kira-kira 23,000 nyawa.
Dan pada masa ini, kira-kira 2.5 juta penduduk negara itu dilaporkan memerlukan bantuan kemanusiaan daripada masyarakat antarabangsa bagi meringankan beban dan penderitaan mereka yang terpaksa ditanggung akibat daripada kekejaman rejim Assad.









