Terengganu, Malaysia

Dua Pakatan Boleh Wujud Serentak – Takiyuddin

takiyuddin hassan

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh wujud bersama-sama, sebagaimana kerjasama politik yang pernah wujud suatu ketika dulu apabila PAS bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46.

Katanya, pada era 1990-an PAS berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan pada masa sama Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, Parti Bersatu Sabah dan Parti Rakyat Malaysia melalui Gagasan Rakyat.

“Perkara yang sama boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan PKR, DAP dan PAN serta satu lagi Pakatan (Rakyat) dengan PAS dan PKR”.

“Kami masih bersama. Tanpa kami (PAS) tiada kerajaan (di Selangor) selepas Tan Sri Khalid Ibrahim memecat semua exco DAP dan PKR,” katanya ketika ditemui media di parlimen hari ini, Isnin 26hb Oktober.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian merujuk kepada Menteri Besar di negeri Selangor sebelum ini.

Takiyuddin berkata, keadaan sama juga dihadapi DAP yang memerlukan PKR sebagai sekutu politik. Jadi PKR telah membentuk kerjasama dengan DAP di Pulau Pinang.

“Tengok di Pulau Pinang. Tanpa PKR bolehkah DAP mentadbir negeri?,”jelasnya

“Sekarang Menteri Besar Selangor, Azmin Ali telah berulang kali sebut PAS adalah sebahagian daripada kerajaan Selangor.

“Kerajaan Selangor boleh mempunyai 2 pakatan pembangkang serentak, kata Setiausaha Agong PAS menegaskan pendirian PAS meneruskan kerjasama dengan PKR dalam mentadbir negeri itu,”tambah beliau

Sehubungan itu beliau menegaskan, PAS masih menganggap kerjasama parti itu dengan PKR berterusan membuktikan Pakatan (Rakyat) masih wujud.

Beliau menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini yang menyatakan Pakatan Rakyat masih wujud dalam bentuk hubungan kerjasama antara PAS dan PKR, tanpa DAP.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan