Kejadian itu dipercayai satu lagi insiden bermotifkan politik, lapor sebuah laman berita setempat.
Dalam kejadian pada 11 malam itu, ejen pilihan raya, Cik Sangetha Jeyakumar, 30 tahun, berada bersama bapanya di pusat khidmat Pakatan Rakyat (PR) untuk bermesyuarat selepas satu sesi ceramah.
Seorang jiran, yang tidak mahu dikenali, berkata dua orang lelaki, – seorang daripadanya bersenjatakan parang – turun daripada sebuah kereta Kia Sephia berwarna perak dan memanjat pintu pagar rumah tersebut untuk masuk ke halamannya, kata laporan The Malay Mail itu, yang ditukil semula oleh laman Malaysiakini, semalam.
“Anjing saya mula menyalak semasa kedua-dua lelaki itu menjerit dengan kuat sebelum memanjat pintu pagar.
“Saya menjerit kembali untuk memberi amaran kepada jiran saya, tetapi diancam oleh mereka supaya jangan masuk campur atau jika tidak, mereka akan membuang bekas berisi minyak tanah itu ke dalam rumah saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Suami Sangetha, Dr Arnil Srimanne, 36 tahun, anak kecilnya berusia setahun dan pembantu rumah mereka berada di rumah tersebut ketika kejadian itu berlaku.
“Saya terdengar satu kekecohan dan menjenguk keluar melalui tingkap rumah saya apabila mereka menjerit lucah dan mengugut saya,” kata Dr Arnil.
Menurutnya, suspek kemudian memecahkan tingkap belakang kereta isterinya yang diletakkan di anjung depan, sebelum mencurahnya dengan minyak tanah dan membakarnya.
Beliau berkata, dalam keadaan tergesa-gesa kerana orang ramai telah berkumpul di situ, suspek melemparkan salah satu bekas berisi minyak tanah ke sebuah lagi kereta sebelum meninggalkan tempat kejadian.
Dalam masa beberapa minit, kereta bomba tiba untuk memadamkan api.
Ketika ditemui, Dr Xavier, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas, berkata beliau percaya kejadian itu bermotifkan politik.
Polis sedang menyiasat kes itu.
DUN Seri Andalas akan menghadapi pertandingan lima penjuru bagi pilihan raya umum 5 Mei ini










