DPPM Puji Tindakan Wisma Putra Sesuai Dengan Memorandum

938

Keadaan yang semakin membarah ini telah memaksa pihak kerajaan Malaysia untuk mengambil keputusan menutup Kedutaan Malaysia di Syiria.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasakan tindakan ini perlu diberikan pujian kerana akhirnya kerajaan Malaysia telah mengambil satu keputusan yang berani untuk membantah tindakan kejam kerajaan Syiria ke atas rakyatnya.

Menurut Setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil DPPM sebelum ini telah menghantar satu memorandum desakan ke Wisma Putra pada 12 Julai yang lalu.

[Gambar kanan – Nik Abduh menyerahkan memo kepada kedutaan Syiria]

“Memorandum yang dihantar oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia ke Kementerian Luar Negeri di Wisma Putera bertujuan meminta supaya Wisma Putra mengambil langkah sewajarnya bagi menekan rejim Bashar Al Assad,

“supaya beliau menghentikan serta merta pembunuhan dan kezaliman terhadap rakyatnya serta tunduk kepada tuntutan dan kehendak rakyat yang mahukan keadilan di negara tersebut.”ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain dari memanggil semula Duta Besar Malaysia di Syiria, DPPM juga meminta agar Kerajaan Malaysia juga turut menutup Kedutaan Syiria di Mesir sebagai tanda protes ke atas kekejaman yang dilakukan oleh pemerintahnya.

Pemuda PAS anjur Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya, 11 Ogos

Dalam perkembangan lain, DPPM akan menganjurkan Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya pada 11 Ogos 2012, bermula jam 2 petang hingga 8 malam di Kediaman Rasmi MB Selangor, Shah Alam, sebagai medan pemantapan peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan.

Menurut Khairul Faizi, bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, DPPM berbesar hati menjemput seluruh profesional muda dari sektor kerajaan dan swasta,  alumni-alumni kampus dalam dan luar negara, bersama-sama seluruh kepimpinan Pemuda PAS di peringkat Negeri dan Kawasan serta Ahli Parlimen dan ADUN Pemuda PAS untuk hadir dalam program yang penuh bermakna itu.

“sebagai kesinambungan daripada siri-siri Xpresi Anak Muda bersempena Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.

“program ini akan memberi penumpuan terhadap aspek peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi dan memaknakan kemenangan di dalam kerangka Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat,”jelasnya.

Di samping itu, menurutnya, ia adalah wadah untuk alumni dan profesional muda berdialog dan memberi saranan akhir terhadap polisi dan manifesto yang bakal ditawarkan.

“Program ini turut memberi ruang kepada golongan profesional muda membina jaringan dan maklumat mengikut bidang kepakaran yang diperlukan dalam agenda mengisi kemenangan kelak, selain platform untuk alumni dan profesional muda berdiskusi dan berdialog secara langsung bersama pimpinan tertinggi”, ujar Khairul Faizi.

Antara agenda menarik pada program ini adalah sesi “Xpresi Profesional Muda & Wacana Manifesto PAS” yang akan menampilkan beberapa profesional muda dari bidang Syariah, Ekonomi, Undang-Undang, Kesihatan, Sains & Teknologi, Pendidikan, Budaya & Kesenian, dan Luar Negara, melontarkan harapan dan cadangan akhir terhadap tawaran Manifesto PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya yang berkaitan kepentingan dan kebajikan anak muda.

Seterusnya, peserta turut berpeluang berdialog secara langsung bersama Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam slot “Wacana Profesional Muda bersama Presiden PAS: Negara Berkebajikan – Cabaran & Peluang”.

“Majlis penutup Xpresi akan diserikan dengan penganugerahan Tokoh Profesional Muda, serahan infaq dan ikrar pilihanraya oleh alumni dan professional muda, seterusnya majlis berbuka puasa bersama pimpinan Pusat dan Pemuda PAS”, tambah Khairul Faizi.

Program ini terbuka kepada peserta muslimin dan muslimat dan boleh diikuti secara langsung melalui kemudahan video-conferencing bagi rakan-rakan di Sabah, Sarawak dan luar negara. Pendaftaran awal boleh dilakukan melalui borang pendaftaran maya di capaian berikut, http://tiny.cc/Xpresi-Profesional-Muda.