Dosa Umno Keluar Arak Lebih Besar Dari Zaid Minum

1021


Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata, Umno/BN tidak sepatutnya menggunakan isu minum arak sebagai bahan kempen kerana empat mantan perdana menteri sebelum ini juga pernah minum arak.


(Gambar – syarikat arak juga dibenarkan menaja sebahagian besar acara sukan)

“Saya pernah berada dalam kerajaan, saya tahu,”katanya yang mempunyai pengalaman bersama kerajaan persekutuan antara 1974 dan 1978.

“Seorang perdana menteri kecuali iaitu Tun Abdullah Badawi (yang bersara tahun lalu),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Menurutnya, malah pemimpin-pemimpin Umno tidak pernah terlepas daripada dosa-dosa besar rasuah, seks, arak atau judi.

“Mereka terlibat dalam salah satu masalah, sekurang-kurangnya satu masalah ini sama ada rasuah, perempuan, arak atau judi,” katanya.

Mengenai dosa berterusan dalam soal arak ini, Mustafa berkata, soal minum arak membabitkan Zaid, bekas Ahli Parlimen Kota Baru hanya bersifat peribadi.

“Soal Zaid minum arak adalah soal peribadi, beliau bertaubat dan menyesal, minta maaf… itu antara dia dan Tuhan.

“Tetapi kerajaan Umno/BN ini meluluskan permit operasi, keluar dan jual, masih ada lagi… ini dosa yang berterusan, lebih teruk berbanding dengan dosa Zaid,” katanya.

Oleh itu kata beliau, Umno-BN membuat kesilapan besar kerana terlalu ghairah menggunakan isu arah Zaid sedangkan mereka lupa “dosa mereka di mana arak dibuat, dijual dan dihidang… dosa yang lebih besar.”

Beliau berkata, PAS tidak akan menggunakan isu minum arak ini sebagai modal kempen sehingga boleh menjatuhkan maruah seseorang.

“Kita tak main isu ini, kalau ada pun isu rasuah sahaja… pemimpin-pemimpin Umno jangan ‘overboard’ (berlebih-lebihan), jangan sembarangan serang calon,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada penyokong PAS tidak akan mengundi calon Pakatan Rakyat ini, Mustapa berkata, penyokong-penyokong akan mematuhi keputusan parti dan sokongan mereka tidak akan terjejas.

“Kita tahu siapa Zaid, orang Melayu pun tahu… undi PAS tidak terjejas sebagai orang PAS tahu antara soal Islam dan peribadi,” kata Mustafa sambil berulang Zaid sudah pun memohon maaf atas kesilapannya.

Daripada 65,000 pengundi yang layak mengundi kali ini kira-kira 8,000 merupakan penyokong tegar PAS.

Beliau juga tahu bahawa ada pemimpin Umno yang minum arak dan beliau pernah melihat pemimpin terbabit minum arak, bagaimanapun beliau enggan menyatakan nama mereka.

Katanya, Umno/BN akan menggunakan apa sahaja untuk membunuh karektor seseorang calon.

“Umno akan menggunakan apa sahaja isu, isu-isu yang tiada kelas… isu yang paling tiada kelas,” kata beliau dengan merujuk kepada tindakan Umno-BN menggunakan isu minum arak membabitkan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.