Dialog Bersama Presiden PAS; Sokongan Pengundi Cina Meningkat

2298

DUNGUN – Sokongan pengundi kaum Tionghua kepada PAS terus meningkat apabila pelbagai fitnah dan tohmahan yang telah ditaburkan terhadap PAS dan Presidennya, terbukti tidak benar.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat berkata, masyarakat Cina sebenarnya masih percaya dan menaruh harapan kepada Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“rasa marah dan geram kepada Tok Guru (Haji Hadi) sebelum ini yang ditohmah mahu berbaik dengan Najib (Presiden Umno) telah difahami oleh mereka,

“apatah lagi apabila Tok Guru menegaskan bahawa PAS akan lawan Umno pada pilihan raya kali ke-14 (dan sebenarnya) DAP lah yang menjadi yang melaga-lagakan orang Melayu,”jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu berkata PAS juga sebagaimana orang-orang Cina tetap tidak percaya kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina negeri Terengganu di Kampung Baharu Batu 5, di sini Jumaat 20 Januari.

Sehubungan itu, tuan rumah sambutan tersebut, Pengerusi LPN Kawasan Dungun Puan Serena Lim Abdullah berkata, kehadiran yang ramai pada majlis tersebut adalah bukti nyata, kaum Tionghua masih saying kepada PAS.

Katanya, mereka datang untuk mendengar sendiri penjelasan daripada Presiden PAS, terhadap segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.

“Mereka (kaum Cina) mendengar khabar mengatakan Tok Guru ambil duit, hendak bersama UMNO-Barisan Nasional,

“jadi hari ini Tok Guru bukan sahaja menjawab segala fitnah itu bahkan memberi peluang kepada kaum Cina menyataka rasa tak puas dihati mereka,”ujarnya.

Serena berkata, mereka puas hati dan jelas serta tidak ada sebarang persoalan, apabila dibuka peluang seluas-luasnya, untuk bertanya.

Pada majlis itu juga, kata Serena, PAS telah mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina dan memberikan sumbangan agar mereka dapat menjadi lebih maju.

“seramai 205 orang di kalangan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar-pelajar cemerlang dalam Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) serta anak angkat-anak angkat LPN diberi sumbangan,

Serena, seorang Cina Muslim, fasih berbahasa Cina turut menjadi pengerusi dan pemudah cara dalam dialog antara Presiden PAS dengan masyarakat Tionghua

“Apa yang kita sumbangkan hari ini adalah duit ‘angpau’(sempena tahun baharu), sekotak limau dan sekampit beras, sebab kita mahu (hidup) bersama kaum Tionghua,”kata beliau.

Beliau berharap masyarakat Cina tidak termakan dengan ‘adu domba’ mereka yang tidak senang dengan kebaikan Islam dan mengekalkan sokongan sehingga Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti.

Turut hadir dalam Majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Haji Satiful Bahri Mamat, Ahli Parlimen Dungun Ustaz wan Hassan Wan Ramli, ADUN Sura Cikgu Wan Hapandi Nik dan ADUN Rantau Abang Cikgu Alias Harun.