KUALA TERENGGANU – Dengan kekuatan diri yang mendapat tarbiyah dari para pemimpin PAS, anggota Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kini yakin dapat menonjolkan identiti yang lebih baik dari parti-parti lain.
Ketua Penerangannya Dr. Bala Chandra G.K berkata, ia adalah hikmah dari pergolakan dalaman dan krisis luaran yang berlaku terhadap PAS.


“Kekuatan kita adalah sebab kita di tarbiyahkan oleh pemimpin PAS untuk membina akhlak yang mulia serta mencerminkan nilai-nilai kerohanian untuk memantapkan kedudukan kita dalam masyarakat supaya rakyat lebih rasa selesa dengan Ahli DHPP,”jelasnya
Katanya, perjalanan anggota DHPP membantu PAS merealisasikan dasar perjuangan iaitu menegakkan ideologi Islam sebagai petunjuk tindakan moral manusia adalah berdasarkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Beliau berkata demikian ketika memberi komen tentang langkah-langkah DHPP menghadapi pasca krisis selepas Muktamar PAS yang lalu.
Pengerusi DHPP negeri Terengganu itu menyifatkan krisis sudah mencapai ‘klimaks’ dan mulai berakhir kini, apabila sudah jelas yang ‘hitam itu hitam’ dan yang putih tetap suci.


Oleh itu, beliau menegaskan semua anggota DHPP di seluruh negara kini lebih bersedia berdepan dengan cabaran.
“Kita nak mengambarkan DHPP (kini) sebagai satu entiti yang berani berdepan dengan segala dugaan dan cabaran,
“dalam memastikan negara ini dan semua lapisan masyarakat dipandu dan dipacu atas landasan Islam,”tegas beliau.
Dr. Bala menafikan dakwaan yang dijaja oleh DAP bahawa kaum Tionghua menjauhkan diri dari PAS.
“DAP ini cakap gitu sebab dia orang nak percaya dengan keadaan itu. Realitinya orang Cina nak menjauhi diri daripada kemungkaran. Mereka tak selesa dengan isu perkauman yang semakin menjadi-jadi sekarang.


Namun beliau yakin, lama kelamaan kebenaran akan terserlah bahawa hanya PAS ada ‘senjata’ untuk menwujudkan sebuah Malaysia yang sejahtera iaitu Islam berpandukan kepada al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias.
“Ini yang (membuatkan) UMNO takut,”kata beliau yakin.
Mengulas lanjut, beliau berkata kaum Tionghua perlu dididik sekiranya mereka mahu isu-isu perkauman, penyelewengan, rasuah dan pembaziran serta kezaliman dihapuskan di negara ini.
“mereka wajib sokong PAS dalam mengembalikan undang-undang Islam, Syariah sebagai undang undang tertinggi dalam perlembagaan negara ini dan kedudukan orang bukan Islam lebih selamat dan hak hak mereka akan dipertahankan,
“Ini tuntutan Islam,”jelasnya lagi



























