DHPP Catat Sejarah Dimartabat Setaraf Dewan

361

Oleh :: Izzat

YAN – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) mencatat sejarah apabila dimartabat setaraf dengan Dewan-Dewan utama, pengiktirafan penting terhadap peranan masyarakat bukan Islam dalam perjuangan PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Konvensyen Kali Ke-10 bertemakan “DHPP Teguh Menyulam Perpaduan” adalah medan terakhir sebelum secara rasmi menjadi satu sayap parti.

“Pengiktirafan tersebut membuktikan PAS meraikan kepelbagaian dan mengiktiraf peranan sahabat ‘non-muslim” dalam membina negara berasaskan keadilan, kebajikan dan kesejahteraan.

“Langkah ini menunjukkan dasar Islam yang diperjuangkan PAS inklusif, mengangkat semua pihak untuk bersama-sama memimpin Malaysia dengan integriti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui, selepas hadir dalam Konvensyen tersebut di sini semalam.

Kata beliau, sehingga kini, DHPP mempunyai lebih 78,000 ahli di seluruh negara dan menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan PAS dengan masyarakat bukan Islam.

Justeru itu, beliau menyeru agar DHPP terus memperkukuhkan keyakinan masyarakat bukan Islam, menjadi jambatan penghubung dengan perjuangan PAS.

“Insya-Allah, dengan langkah tersusun dan amanah yang digalas, PAS bersama DHPP akan terus memimpin Malaysia ke arah pentadbiran berteraskan integriti, kebajikan dan kesejahteraan untuk semua,” tegas beliau.