BESUT- Derita sekeluarga tinggal di rumah yang sempit dan tidak selesa berakhir apabila PAS Kawasan Besut dan beberapa Badan Bukan Kerajaan(NGO) mengambil inisiatif membina kediaman baharu.
Timbalan Ketua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata rumah tersebut yang didiami 11 anggota itu berdepan tiga ujian kesihatan serentak.
“Seorang abang sedang bertarung dengan kanser, si ibu menanggung kesan strok, manakala si ayah mengalami masalah saraf mata yang mengehadkan penglihatan, keadaan ini menuntut penjagaan rapi, rutin teratur serta persekitaran rumah yang mesra pesakit,
“ruang kediaman sedia ada yang sempit menyukarkan urusan harian, daripada memandikan pesakit, memastikan rehat yang cukup, hinggalah keluar masuk bagi temujanji rawatan.
“Anak-anak pula memerlukan sudut belajar yang sesuai. Dalam keadaan ini, sebuah rumah yang ‘berfungsi’ bukan lagi soal estetik, tetapi keperluan mendesak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian diantara Muslim Care Malaysia dengan kerjasama AFAH Build & Engineering untuk pembinaan sebuah rumah baharu untuk keluarga Nazeri Junoh yang berlangsung di Pulau Berangan pada 26 Oktober di sini.
Turut hadir kepimpinan PAS Kawasan Besut yang menyatakan sokongan moral dan keprihatinan komuniti terhadap usaha membantu keluarga berkenaan.


Menurutnya, dengan termeterainya perjanjian tersebut bermulanya fasa pertama projek, daripada kerja tapak sehinggalah penyerahan kunci, inisiatif ini dijangka menambah baik susun atur ruang yang selesa dan memudahkan pergerakan dalam rumah serta meningkatkan keselamatan dan kebajikan seisi keluarga.
“Fokus kini beralih kepada pelaksanaan di lapangan, semua pihak berharap projek berjalan mengikut jadual sehingga penyerahan kunci, seterusnya membuka lembaran hidup yang lebih selesa untuk 11 jiwa di bawah satu bumbung.
“Peranan kami cuma menjadi perintis yang menghubungkan keperluan sebenar dengan tangan-tangan yang sudi membantu. Terima kasih kepada Muslim Care dan AFAH Build & Engineering, moga kerja ini berjalan sebagai amanah bersama dan memberi kelegaan segera kepada keluarga Encik Nazeri,” ujarnya.
Beliau berharap dengan pembinaan rumah baharu itu mampu mewujudkan rutin penjagaan yang lebih teratur, memberi privasi kepada pesakit, dan menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif untuk anak-anak.
“Pada masa sama, ia mengurangkan beban logistik keluarga bagi urusan rawatan berkala,
PAS Besut mendoakan kelancaran setiap fasa pembinaan, agar setiap batu yang disusun menjadi asbab kesembuhan, ketenangan dan kekuatan baharu buat keluarga ini. Yang kecil pada kita, besar pada mereka.
Sementara itu Nazeri yang merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Muslim Care kerana sudi meninjau keadaan hidup mereka dan menghulurkan bantuan sebuah rumah.
“Moga usaha ini diberkati Allah SWT, kami juga amat menghargai peranan perintis Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang sejak awal begitu prihatin.
“Alhamdulillah, ikhtiar itu kini menampakkan hasil, mohon doakan agar kerja-kerja kebajikan Muslim Care sentiasa dipermudah,” katanya.





























