Pasukan keselamatan Israel telah mengimport kuda, alat penyembur air dan pelancar gas pemedih mata bagi mengawal keadaan jika demonstrasi yang dijadualkan di Palestin bulan depan berubah menjadi ganas.
Demonstrasi itu adalah sebagai menyokong rancangan pihak berkuasa Palestin mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wujud sebagai negara merdeka.
Pihak berkuasa Palestin telah membuat perancangan bagi memastikan tunjuk perasaan itu dijalankan secara aman tanpa sebarang konfrontasi dengan Israel.
Israel bagaimanapun bimbang sebarang insiden yang menyebabkan kematian di salah satu pihak akan mecetuskan keganasan yang buruk.
Rakyat Palestin merancang mengadakan demonstrasi di serata Tebing Barat dan di luar negara semasa persidangan Perhimpunan Agung PBB berlangsung bulan depan.
Menurut sumber, polis Israel telah menambah bilangan pasukan antirusuhan kepada lebih 2,000 pegawai.
‘Pihak polis berharap dapat mengelakkan sebarang korban jiwa jika PBB menyokong langkah Palestin menjadi negara yang merdeka,’ kata jurucakap polis Israel, Encik Nissim Mor.
Pihaknya antara lain bercadang menggunakan sebuah mesin yang mengeluarkan gelombang suara yang boleh membuat penunjuk perasaan rasa mual.
Polis juga dikatakan telah menempah satu alat yang menyembur cecair busuk bagi menyuraikan para penunjuk perasaan.
Sebanyak 15 kuda baru tiba dari Belgium minggu ini sementara dua alat penyembur air tambahan telah turut ditempah.
Sebelum ini, askar Israel pernah menggunakan peluru getah yang telah menyebabkan rakyat Palestin terbunuh.
Israel juga telah belajar daripada pengalaman mengelakkan konfrontasi setelah mendapat kecaman antarabangsa selepas askarnya menembak mati lebih sedozen rakyat Palestin yang menyerbu sempadannya di Syria pada Mei lalu.
Sementara itu, wakil Palestin di PBB, Encik Riyad Mansour, berkata jika ratusan ribu rakyat Palestin mengadakan demonstrasi secara aman bulan depan, ia mungkin akan memberi kesan kepada PBB.
Menurut beliau, hampir 130 negara sudah pun mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka.
Bilangan itu membentuk lebih dua pertiga daripada keanggotaan Perhimpunan Agung PBB.
Sebelum ini, Amerika Syarikat, Israel dan banyak lagi negara Eropah menegaskan pembentukan negara Palestin yang merdeka harus dicapai melalui rundingan dua hala dengan Israel dan bukan melalui tindakan sepihak. — AP.


























