Selang beberapa hari sebelum keluaran rasmi buku yang mengisahkan pengalaman orang pertama mengenai operasi di Pakistan itu, peguam utama Pentagon, Encik Jeh Johnson, memberitahu penulis berkenaan bahawa dia telah melanggar dan tidak mematuhi satu perjanjian ketat untuk tidak mendedahkan perkara itu sebelum dia bersara daripada tentera tahun ini.
“Dalam penilaian Jabatan Pertahanan, anda telah membuat pelanggaran dan pencabulan besar terhadap perjanjian tidak mendedahkan yang telah anda tandatangani” dan pihak Pentagon sedang menimbangkan “untuk mengambil apa saja tindakan guaman yang tersedia”, kata Encik Johnson dalam satub surat kepada penulis tersebut, yang menggunakan nama samaran, “Mark Owen”.
Buku bertajuk “No Easy Day” yang ditulis oleh bekas komando Navy Seals itu dijangka dikeluarkan seawal 4 September ini, tetapi telah pun mencetuskan satu gelombang publisiti dan kontroversi.
Dia telah menandatangani dokumen-dokumen semasa berkhidmat dan sebelum dia bersara sambil berjanji “tidak akan mendedahkan” maklumat rahsia dan menyerahkan manuskrip bukunya itu kepada Pentagon sebelum ia dikeluarkan, kata Encik Johnson.
Peguam umum Pentagon itu menekankan bahawa beberapa naskah salinan buku itu muncul Rabu lalu – sebelum tarikh keluarannya pada minggu depan – dan memberi amaran: “Pengedaran seterusnya buku anda akan memburukkan lagi pelanggaran dan pencabulan perjanjian anda.”
Surat itu tidak menunjukkan sama ada buku berkenaan telah mendedahkan rahsia-rahsia yang boleh membahayakan tentara Amerika Syarikat tetapi menerangkan dengan jelas bahawa kegagalan penulis berkenaan untuk mendapatkan kelulusan Pentagon bagi manuskripnya sudah cukup melanggar perjanjiannya dengan pihak Navy Seal.
Para pegawai tinggi tentera dan unit risikan, yang bertemu untuk membincangkan buku tersebut Rabu lalu, telah menelaah teksnya sejak beberapa hari lalu untuk mengesan sebarang pendedahan berhubung taktik atau teknik sensitif yang digunakan pasukan komando itu tetapi sejauh ini belum lagi menuding ke arah pendedahan yang dianggap membimbangkan.
Versi anggota Navy Seal itu mengenai kematian Osama di kediamannya di Abbottabad, Pakistan, berbeza daripada versi sebelum ini yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Barack Obama, dan dibuat di tengah-tengah perdebatan mengenai cara penanganan rahsia negara menyusuli serbuan tersebut.
Pihak Pentagon menekankan penerbit buku itu juga berpotensi menghadapi tindakan undang-undang. – AFP.






























