Dato’ Seri Najib Perlu Disiasat Dengan Telus Dan Adil

916

‘The Wall Street Journal’ pada 2 Julai telah membuat pendedahan AS$700 juta didepositkan ke akaun DS Najib Razak diikuti pendedahan kedua pada 7 Julai (semalam) dengan mengemukakan sembilan dokumen yang menjadi asas kepada pertuduhan itu dibuat.

2. Tuduhan ke atas DS Najib Razak menjadi lebih berat apabila skandal yang sedang dihadapi beliau ini dikaitkan pula dengan kes pembunuhan Hussain Ahmad Najadi, pengasas Arab Malaysian Banking Group pada 29 Julai 2013.

3. DUPP berpendirian bahawa kedua-dua tuduhan ke atas beliau ini adalah sangat berat menurut kacamata Islam dan ia melibatkan kepentingan orang ramai dan negara. Oleh itu, DUPP mendesak supaya :

(i) DS Najib Razak menjelaskan keadaan sebenar dan mengemukakan respon konkrit kepada Ahli-ahli Parlimen dengan memanggil sidang khas parlimen sesegera mungkin.

(ii) Suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini secara adil, telus dan menyeluruh tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak berkepentingan dalam isu ini.

4. DUPP juga ingin menyatakan sokongan ke atas penglibatan dan kesungguhan banyak pihak dalam membongkar kebenaran dan menuntut keadilan terhadap isu yang sangat berpotensi untuk menggugat negara kita ini pada pelbagai aspek akibat sikap tidak amanah pemimpin.

5. Pada masa sama, DUPP juga ingin mengingatkan khususnya kepada para pimpinan dan ahli-ahli PAS agar tidak terlalu ghairah membuat andaian dan spekulasi secara tidak berasas kerana dikhuatiri akan mendapat dosa memfitnah dan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan isu yang tidak jelas hujung pangkalnya. Sewajarnya dan memadai kita menuntut dan terus memberi tekanan agar wujud proses siasatan dan pengadilan yang berintegriti dan beribawa bagi menyelesaikan isu ini.

Sekian.

Kenyataan Media Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) DATO’ DR. HJ. MAHFODZ MOHAMED
Tarikh : 9 Julai 2015 / 22 Ramadan 1436H