Dasar Kawalan Hiburan Awam Langkah Berprinsip

315
Ustazah Sumaiyah Zakaria

KUALA TERENGGANU – Dasar kawalan hiburan awam yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Terengganu bagi 10 malam terakhir Ramadan adalah langkah berprinsip dalam memelihara kemuliaan bulan ibadah dan memperkukuh pentadbiran berteras Islam di negeri ini.

Ketua Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melarang aktiviti busking pada tempoh berkenaan wajar dilihat sebagai usaha mendidik masyarakat, khususnya golongan belia, agar lebih menghormati keutamaan ibadah pada fasa kemuncak Ramadan.

“Pendekatan ini mengangkat prinsip Islam Kerajaan Negeri dalam mentadbir, dan ianya menepati slogan Indahnya Hidup Bersyariat.

“Garis panduan yang disediakan tidak sesekali menghalang masyarakat termasuk anak muda untuk berhibur, tetapi perlu mengikut syariat serta mematuhi peraturan dan syaratnya.,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menjelaskan, 10 malam terakhir bulan mulia merupakan tempoh yang sangat istimewa kerana kehadiran tetamu Ramadan dinanti-nantikan, iaitu malam penuh keberkatan dan rahmat.

Justeru itu, tidak wajar dicemari dengan budaya hiburan yang berlebihan.

Ustazah Sumaiyah turut mengingatkan kesungguhan Rasulullah SAW dalam memperbanyakkan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan sebagaimana diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah R.anha bahawa Baginda SAW lebih bersungguh-sungguh beribadah pada tempoh tersebut berbanding hari-hari lain.

Tambah beliau, Ameerah Terengganu yakin masyarakat di negeri ini, khususnya golongan muda, mampu menerima keputusan larangan berkenaan secara positif demi kesejahteraan bersama.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas ketetapan yang dibuat dan berharap kesan positifnya dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.