Darul Amal; Pusat Latihan Amilin Bandaraya Kuala Lumpur

1684

Tanggal 6 Jumadilawwal 1435 / 8 Mac 2014 merupakan hari yang bersejarah bagi Jabatan Amal Wilayah Persekutuan kerana berjaya mengadakan Majlis Perasmian Markaz Jabatan Amal Wilayah yang juga dikenali sebagai Darul Amal.

Markaz yang bertempat di Taman Maluri, berdekatan dengan Institut Profesional Baitul Mal WP itu telah dirasmikan oleh Tuan Haji Mohamad Noor Mohamad, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan sendiri.

Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran Ir Hj Khairil Nizam Khirudin, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, merangkap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Tuan Haji Johari Osman selaku Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, serta mantan-mantan Pengarah Jabatan Amal Wilayah Persekutuan.

Saudara Mohd Rashidi Abdul Razak, Pengarah Jabatan Amal Wilayah dalam ucapan aluannya melahirkan hasrat untuk menjadikan Darul Amal sebagai pusat operasi gerakerja Amal agar lebih kemas dan tersusun rapi, juga sebgai pusat aktiviti tarbiah dan riadah untuk para anggota Amal dan relawan.

Darul Amal Kuala Lumpur1Darul Amal bakal diaktifkan lagi sebagai tempat perkaderan bagi melahirkan amilin parti yang ikhlas serta mampu memimpin masyarakat.

Selaku Ketua Pengarah Jabatan Amal Pusat, Tuan Johari memanjatkan rasa syukur dan tahniah di atas pelancaran markaz amal yang pertama seumpanya di Malaysia, selari dengan hasrat yang pernah dilahirkan oleh mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang lepas YB Ustaz Nasrudin Hassan atTantawi.

Agenda untuk memasyarakatkan PAS melalui Amal perlu ditingkatkan, di samping berusaha untuk melahirkan pimpinan yang lebih menjiwai masyarakat melalui penglibatan dalam aktiviti Amal.

Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah pula menyatakan visinya adalah bagi menjadikan Amal sebagai pusat latihan amilin pemuda dan wilayah, juga mengembangkan fungsi Amal selaku duta kebajikan PAS.

Amal juga perlu diperkasakan sebagai pusat tarbiah untuk kepimpinan pemuda. Kerja-kerja kebajikan yang dilakukan Amal bakal menjadi penyumbang dan pemangkin kepada kemenangan dalam PRU yang akan datang.

Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Haji Mohamad Noor pula menekankan untuk menjadikan Darul Amal sebagai pemangkin gerak kerja kebajikan di Wilayah amnya, dan Titiwangsa khususnya, juga menjadikan Amal sebagai golongan yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.

Sempena majlis perasmian ini juga, tiga kelab yang bernaung di bawah Jabatan Amal Wilayah Persekutuan telah dilancarkan iaitu, Amal Enjoy Club, Amal Kendarat dan Amal Syifa’.

Majlis diteruskan dengan penyerahan watikah kepada semua komandan kawasan, penyampaian anugerah Jasamu Dikenang kepada mantan-mantan Pengarah Amal Wilayah, juga anugerah Amal Legend buat veteran aktivis Amal. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam.