PAS Sarawak akan terus istiqamah sehingga mencapai kemenangan dan konsisten memperjuangkan nasib dan hak rakyat Sarawak.
Pesuruhjayanya Haji Jofri Jaraiee berkata, projek-projek untuk rakyat yang bertemakan kebajikan dan kemasyarakatan yang sedang dilaksanakan di bawah inisiatif Untukmu Sarawak (UMS) akan diteruskan.
Beliau menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, baru-baru ini menolak PAS dalam Pakatan di Sarawak sebagai angkuh dan sombong dan sememangnya sudah dijangka.
“Sejak beliau memegang jawatan Pengerusi DAP Sarawak dari mendiang Wong Ho Leng, DAP Sarawak semakin sukar dibawa ke meja rundingan.


“(ia) yang sebenarnya tidak berkaitan pun dengan Sarawak………..(ia) antara kenyataan melampau yang menunjukkan keegoan Chong lagi ialah apabila beliau menyatakan PAS tidak relevan di Sarawak,”ujarnya.
Jofri mempersoalkan apakah tujuan Pengerusi DAP Sarawak itu bertindak demikian dan mendakwa Chong mungkin mempunyai kepentingan sehingga memecah belahkan pakatan pembangkang.
“Adakah Chong mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan peribadi beliau dan beliau juga suka memaksa rakan Pakatan lain seperti PKR untuk patuh dan tunduk dengan kehendak beliau?
“Tindakan DAP di bawah pemimpin seperti Chong menyukarkan untuk blok pembangkang bersatu dan ianya akan menyukarkan lagi hasrat rakyat untuk mengubah kerajaan yang ada sekarang,”jelasnya.
Beliau menegaskan, PAS Sarawak tetap dengan pendirian tegas dan tidak akan tunduk dengan desakan DAP supaya tidak melaksanakan Hudud dalam negara ini.
“Hudud bukan isu yang perlu dibangkitkan di Sarawak kerana dimaklumi oleh semua bahawa Sarawak belum mampu daripada pelbagai aspek untuk pelaksanaan hudud waima (walaupun) dalam kalangan orang Islam Sarawak.


Oleh itu, beliau suka mengingatkan DAP bahawa musuh politik PAS dan Pakatan rakyat adalah Barisan Nasional (BN) dan menggesa DAP memastikan bahawa serangan yang dibuat bukan ‘membunuh diri sendiri’.
“peluru kita (mesti) dihala kepada BN dan bukannya sesama blok pembangkang. PAS juga mengingatkan DAP agar matang dan bijak dalam berpolitik.
“Jika DAP Sarawak terus dengan cara kepemimpinan Chong (maka) mungkin DAP Sarawak akan terus ketinggalan dan sukar untuk mendapatkan sokongan rakyat terutama dari Muslim dan Bumiputera lain di Sarawak,”ujarnya lagi.
Rakyat dalam negara ini, kata Jofriee, akan hidup lebih harmoni dan aman sekiranya semua pihak menghormati kepercayaan dan adat budaya antara satu sama lain dan tidak mencampuri urusan agama lain.
Beliau memegang prinsip, PAS masih menjalinkan hubungan dengan PKR sebagaimana diputuskan dalam Muktamar PAS Pusat dan menyeru seluruh rakyat serta parti-parti politik bergabung bersama untuk kebaikan rakyat Sarawak.


























