Dalih Masyarakat Majmuk Tolak Hudud – Mursyidul Am PAS

1351

Oleh: KAM

BESUT – PAS mempersoalkan hujah mana-mana pihak yang menolak pelaksanaan syariat Islam termasuk hukum hudud kerana beralasan masyarakat majmuk di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din berkata perjuangan Nabi Muhammad SAW membawa Islam di Madinah juga terdapatnya masyarakat majmuk berbilang kaum.

Ini kerana, katanya hukum-hukum Allah Ta’ala itu perlu diikuti kesemua sekali dan tidak boleh dipilih-pilih.
Justeru, kata beliau golongan yang tidak mahu melaksanakan hukum Allah itu hanya mencari dalih dan alasan masyarakat majmuk.

“Iman itu, barang yang kamu yakin dengan Allah Ta’ala, hukum-hukum Allah SWT, ikut kesemuanya sekali dan jangan pilih-pilih.

“Dia mencari alasan kenapa tidak mahu melaksanakan hukum Allah SWT. Alasan dia, Islam tidak boleh dilaksanakan lagi kerana masyarakat majmuk.

“Ambil di mana (alasan) masyarakat majmuk tidak boleh laksanakan Islam. Nabi (Muhammad) SAW dahulu pun berkembang (Islam) dalam masyarakat majmuk.

Haron Din“Nabi (SAW) berpindah ke Madinah dan berkembang Islam di sana juga dalam masyarakat majmuk. Golongan Muhajirin dari Quraisy, Bani Auf (dari Yathrib), Bani al-Harith (dari Yathrib-Madinah) bin al-Khazraj, Bani Saidah, Bani Jusyam, Bani al-Najjar, Bani Amru bin Auf, Bani al-Nabiet dan Bani Aus (dari Yathrib) termasuk orang Yahudi,” jelasnya.

Dato’Dr Haron berkata demikian ketika merasmikan Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Kodim) di Kampung Tok Has, Jertih, Besut pada 19 Mac lalu.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Dato’ Dr Nik Muhammmad Zawawi Salleh, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang dan Yand Dipertua (YDP) PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Sehubungan itu, kata Mursyidul Am PAS bahawa kerja-kerja dakwah Islam terhadap golongan non-muslim masih terlalu sedikit.

Menurutnya, apa yang diusahakan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah Yayasan Amal Malaysia sebelum ini seperti Pusat Dakwah Serantau (PDS) amat baik.

“Kerja-kerja dakwah Islam untuk mendekati golongan non-muslim masih terlalu sedikit yang kita buat dalam masyarakat ini.

“Pusat Dakwah Serantau (PDS), (sebuah) NGO di bawah Yayasan Amal Malaysia ditubuhkan untuk mengisi kelompangan badan-badan dakwah yang sedia ada hari ini,” ujarnya.

Katanya, badan dakwah seperti PDS dan Yayasan Amal Malaysia tersebut bagi mengembangkan agama Islam ke seluruh rantau ini.

Pada majlis tersebut turut menandatangani plak perasmian Kompleks Pendidikan & Dakwah Islamiah Malaysia yang berharga RM6 juta jika siap sepenuhnya kelak.

https://youtu.be/tHPW3DkipcA