Dalam PAS, Pemilihan Calon Bukan Ditentukan Oleh Individu

25

Oleh : Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah

Saya masih ingat, ketika menghampiri Pilihan Raya Negeri ke-15 yang lalu, seorang pegawai saya pernah bertanya, “YB akan bertanding lagi ke kali ini?”

Saya hanya menjawab, “Saya pun tak tahu.”

Bagi saya, sama ada dicalonkan atau tidak, gerak kerja mesti diteruskan. Kempen perlu digerakkan, rakyat perlu disantuni dan amanah kepada jamaah tetap perlu dilaksanakan, walaupun akhirnya bukan kita yang dipilih sebagai calon.

Sejujurnya, pada ketika itu saya sendiri tidak mengetahui sama ada akan dicalonkan atau sebaliknya.

Ramai yang menyangka calon telah mengetahui lebih awal. Hakikatnya, dalam PAS, seseorang itu kebiasaannya hanya benar-benar mengetahui dirinya dipilih apabila dipanggil menghadiri sesi bergambar rasmi bagi tujuan publisiti, kemudian dijemput menghadiri sesi bai’ah calon sebelum pengumuman rasmi dibuat kepada umum.

Dalam PAS, proses pemilihan calon bukan ditentukan oleh seseorang individu
. Ia bermula di peringkat cawangan apabila ahli-ahli mencadangkan nama-nama yang dirasakan layak.

Seterusnya, senarai tersebut dibawa ke Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, kemudian ke PAS Pusat dan akhirnya dipertimbangkan serta diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak.

Ada ketikanya nama yang banyak disebut di peringkat awal tidak semestinya menjadi calon, dan ada juga nama lain yang akhirnya dipilih setelah melalui pelbagai pertimbangan.

Di sinilah pentingnya kita memahami konsep wala’ dan thiqah terhadap keputusan pimpinan. Sudah tentu setiap keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan pertimbangan yang mungkin tidak diketahui oleh semua pihak.

Saya menulis perkara ini kerana isu calon antara yang paling banyak dibangkitkan dalam sesi dialog bersama kepimpinan Majlis Tindakan DUN Kijal dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Seperti yang ditegaskan oleh YBhg. Dato’ Pesuruhjaya PAS Terengganu, pemilihan calon bukan sekadar melihat kepada populariti atau kehendak individu, tetapi dibuat melalui penelitian yang menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek demi memastikan jamaah dapat menampilkan calon yang terbaik untuk membawa amanah perjuangan.

Meskipun siapa sahaja yang dipilih sebagai calon, amanah tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan perjuangan terus diperkasakan, gerak kerja sentiasa dipertingkatkan dan kemenangan yang dicapai nanti dimanfaatkan untuk membawa agenda Islam serta berkhidmat kepada rakyat.

Siru ’ala barakatillah.

#TerengganuMajuBerkatSejahtera

https://www.facebook.com/share/p/1Dmnu1AR1N/