Cukuplah Bermain Politik

392

– Islam Ajar Mencintai Dan Ambil Berat Kepada Kaum India

Pemuda PAS terkejut dengan sebuah kenyataan daripada petikan akhbar yang mengulas ucapan Presiden MIC berkenaan sifat angkuh dan jahil kepada kaum India yang dilempar kepada kepimpinan PAS merangkap Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan isu ‘cuti’ sempena Thaipusam.

2. Dalam kenyataan tersebut juga disebut berkenaan kegusaran sebagai sebuah parti bersama dalam kerajaan, ternyata keraguan Pemuda PAS terhadap selaran yang dibangkitkan hanyalah bertujuan untuk membangkitkan imej buruk politik yang ternyata menyimpang dengan tujuan untuk membela kaum India semata-mata.

3. Di Malaysia, hari Thaipusam merupakan cuti umum di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Pada 20 Januari 2008, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bercuti umum sempena hari Thaipusam. Negeri Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah , Sarawak dan Melaka belum menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum. Kedah menjadikan Thaipusam sebagai cuti peristiwa.

4. Bertepatan dengan situasi COVID 19 dan dalam tempoh PKP, ditambah pula dengan situasi Proklamasi Darurat yang dibuat dengan tujuan besar untuk memutuskan rantaian jangkitan yang semakin tidak terkawal, pengumuman MB Kedah adalah bersifat teknikal memandang had untuk melakukan aktiviti di rumah ibadah agak terhad. Dan ianya bukan hanya terpakai di kalangan kaum India, malah agama yang dianuti oleh MB Kedah iaitu Islam juga menghadkan pergerakan untuk melaksanakan ibadah di surau dan masjid!

5. Dalam Islam, tegas Allah memerintahkan umatnya untuk sentiasa berkenalan, mengambil berat antara satu sama lain, dan memupuk kasih sayang sesama manusia, walaupun berlainan fahaman agama, warna kulit, bangsa apatah lagi kepentingan politik.

6. Serangan tanpa asas terhadap rakan pimpinan parti yang menerajui langsung tidak membantu untuk kita semua terus memperteguhkan kasih sayang dan kesefahaman yang jitu sebagai rakyat Malaysia. Cukuplah apa yang dilakukan oleh pimpinan PH yang suka menggunakan agama sebagai senjata melaga-lagakan kita semua, dan usahlah kita terikut dengan rentak keji ini.

7. Pemuda PAS akan terus memastikan keharmonian kaum terus terjalin dengan menghormati sesama agama dan bangsa, dan diharap pihak MIC juga begitu. Fokuslah dalam memerangi musuh utama negara supaya kita semua boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa kelak.

Nazir Helmi
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia